Isnin, 25 Jun 2012

Abdul Khalid tetap pertahan Faekah

RUWAIDA MD ZAIN

Abdul Khalid tetap pertahan Faekah
Abdul Khalid tandatangani dokumen pengesahan penubuhan Kampung Melayu Batu Caves selepas program sambutan ke-43 kampung berkenaan, semalam.
 

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin tidak akan dikenakan sebarang tindakan walau apa pun pendedahan melibatkan beliau, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Mereka tetap akan buat pendedahan sama ada betul atau tidak.. tetapi bagi saya tiada siasatan terhadap Faekah kerana dari segi kerja yang dia buat adalah telus. Kami mempercayai ketelusan dalam organisasi,” katanya mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie yang mendesak Abdul Khalid menggantung sementara dan menyiasat Faekah mengenai isu surat sokongan.

Abdul Khalid berkata, pendedahan terhadap Faekah itu bukan berpunca dari anggota dalaman PKR namun beliau tetap menerima pendedahan tersebut sebagai ketelusan dalam pentadbiran.

Malah katanya, pendedahan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepadanya kerana berkemungkinan suatu hari nanti setiap aktiviti yang dilakukan Shuhaimi atau beliau sendiri akan didedahkan jika dikehendaki.

Beliau juga tidak percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda itu berkompromi dengan Umno untuk melakukan desakan tersebut.

“Tak ada, itu tak apa. Dari segi ketelusan kita terima, kita perlu terima ketelusan, esok pun akan berlaku ketelusan. Saya berpendapat perkara (pendedahan) ini baik kerana apa pun orang akan dapat tahu.

“Jadi, kita telah menerima ketelusan dan kita juga akan menggunakan apa yang dipanggil Freedom of Information Act yang kalau kita laksanakan semua maklumat ini boleh didedahkan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu program di Batu Caves, Abdul Khalid mencadangkan supaya polis menyediakan satu kaunter khas untuk menerima laporan pemimpin Umno.

Katanya, kemudahan itu perlu untuk mudahkan polis asingkan tugas siasatan aduan berbaur politik dengan siasatan penting seperti jenayah.

Menurutnya, cadangan itu juga perlu dikaji selepas terdapat segelintir pihak yang kerap membuat laporan polis untuk setiap kenyataan yang dikeluarkan dalam media.

“Mereka jangan hanya buat laporan isu Faekah sahaja tetapi banyak lagi kes lain yang perlu dibuat laporan termasuk pimpinan Umno lain,"katanya.

Tiada ulasan: