Khamis, 17 Mei 2012

Tribunal: FAM tolak permintaan Annuar

Noor Hafiza Che Abdullah

Tribunal: FAM tolak permintaan Annuar
 
Tan Sri Annuar Musa 
 
 
PENGERUSI  Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, tiada ruang bagi Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa yang mahu Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak itu menubuhkan sebuah tribunal timbang tara untuk meneliti semula kesnya.

Taufik berkata, tidak logik perkara ini ditimbulkan kerana dalam kes timbang tara pihaknya perlu mempunyai dua faktor sekiranya bercadang untuk membuat permohonan tersebut.

"Faktor pertama sekiranya wujud perselisihan faham antara persatuan itu dengan pihak FAM manakala faktor kedua apabila jawatankuasa rayuan mendengar rayuan yang dikemukakan Annuar tetapi tidak memihak kepada beliau, barulah boleh mewujudkan timbang tara itu.

"Tapi dalam kes Annuar, perkara sebegini tidak berlaku kerana Annuar tidak dibenarkan membuat sebarang rayuan terhadap hukumannya itu, jadi  macam mana beliau mahu ditubuhkan tribunal timbang tara? Bagi saya peluangnya dalam hal ini sangat tipis," kata Taufik.

Beliau berkata demikian apabila Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan meminta FAM menubuhkan tribunal timbang tara bagi membincangkan semula hukuman penggantungan dua tahun enam bulan yang dikenakan terhadapnya, kelmarin.

Ditanya sekiranya Annuar membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne Switzerland, beliau berkata: "Macam mana beliau nak kemukakan rayuan sedangkan di sini pun beliau tidak berjaya."

"Annuar sepatutnya rasional dalam hal ini," katanya.

Annuar didakwa melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media.

Tiada ulasan: