Jumaat, 4 Mei 2012

Suhakam: Mat Sabu cedera kerana ‘pelanggaran’ tapi…

Wartawan Sinar Harian

Mohamad Sabu
 
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
 
 
KUALA LUMPUR - Inkuiri Suhakam menunjukkan kecederaan dialami oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berpunca daripada pelanggaran dengan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi tidak terdapat bukti konklusif mengenai cara insiden itu berlaku.

Laporan penemuan dikeluarkan hari ini berkata, tiada bukti sama ada kenderaan PDRM yang telah melanggar beliau dan penunggang motosikal, Mohd Zulkifli Abdul Halim atau kedua-dua mereka sendiri melanggar kenderaan polis dalam usaha untuk mengelak diri daripada ditangkap atau pelanggaran tersebut berlaku dengan begitu saja tanpa sesiapa yang melakukannya dengan sengaja.

Perkara itu terkandungan dalam laporan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan Bersih 9 Julai 2011.

Suhakm berkata, walaupun PDRM mempunyai kuasa dan sebab yang sah di sisi undang-undang untuk melakukan tangkapan, cara yang digunakan untuk melaksanakan penahanan terhadap mana-mana individu haruslah bersesuaian dengan kesalahan.

"Prinsip hak asasi dan keselamatan terhadap anggota mahupun individu yang hendak ditahan haruslah diutamakan di mana satu garis panduan haruslah diwujudkan oleh PDRM mengenai cara-cara yang boleh digunakan oleh anggota-anggota PDRM dalam melakukan tangkapan.

"Rawatan segera haruslah diberikan kepada mana-mana individu yang ditahan," kata laporan Suhakam.
Malah ia menambah, pegawai atau anggota yang melakukan tangkapan juga sepatutnya membuat penilaian yang objektif di mana sekiranya kecederaan berkemungkinan besar berlaku semasa proses penahanan, bantuan perubatan haruslah diberikan dengan segera.

Dalam keterangannya kepada panel pendengaran awam yang diadakan sejak akhir tahun lalu, Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau telah memasuki kawasan Kuala Lumpur dengan tujuan untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Menurut Mohamad, sekitar jam 1 tengah hari beliau telah membonceng sebuah motosikal menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat Zohor.

Mohamad mendakwa beliau telah dilanggar oleh sebuah kereta Pajero di sekitar Jalan Travers.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut beliau telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah sehingga memerlukan pembedahan," kata Mohamad dipetik laporan Suhakam itu.

Menurut Mohamad, beliau hanya menyedari bahawa kenderaan tersebut adalah milik PDRM setelah pelanggaran tersebut benar-benar berlaku.

"Selanjutnya W6 (Mohamad) menyatakan beliau tidak pernah mendengar sebarang arahan untuk beliau berhenti yang dibuat oleh mana-mana pegawai atau anggota polis yang menahan beliau sebelum pelanggaran tersebut berlaku.

"Mohd Zulkifli bin Abdul Halim (W7), pemandu motosikal tersebut, juga melalui kenyataan yang dibuat di hadapan Panel menyokong kenyataan W6 dengan sedikit pembetulan, iaitu pelanggaran tersebut sebenarnya berlaku di Bukit Persekutuan dan bukannya Jalan Travers," kata laporan itu.

Saksi-saksi dari PDRM iaitu ASP Kamal Khan Mohd Sharif (W8) dan Lans Koperal Muhamad Fauzi Mustafa (W9) sebaliknya menyatakan bahawa mereka telah memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai dan anggota PDRM kepada Mohamad dan Zulkifli dan telah beberapa kali mengeluarkan arahan kepada mereka melalui isyarat tangan dan laungan, bermula dari Jalan Travers sehingga lokasi pelanggaran supaya memberhentikan kenderaan tetapi tidak diendahkan.

"Selanjutnya W9 mengatakan bahawa beliau telah melakukan sekatan dengan menggunakan kereta yang mempunyai lambang PDRM untuk menghalang W6 dan W7 dari melarikan diri.

"Mengikut keterangan W9 lagi, kenderaan yang dinaiki oleh W6 dan W7 telah melanggar bahu jalan sebelum berlanggar dengan kenderaan PDRM yang dipandu oleh W9," kata laporan itu.

Laporan itu menambah, W8 pula menyatakan beliau menyedari W6 mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan semasa di lokasi tangkapan, lalu memaklumkan hal tersebut kepada Dr Nurul Azlean binti Norzah (W12) yang memberikan rawatan kepada W6 di Balai Polis Jinjang.

"W12 menyatakan beliau telah mengesyorkan supaya W6 dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut dan ini telah disahkan oleh W6 sendiri.

"W12 juga menyatakan tidak terdapat kesan kotoran seperti pasir atau tanah di bahagian yang cedera. Berdasarkan kepada keadaan tersebut beliau berpendapat bahawa kecederaan berkenaan berkemungkinan terjadi akibat pelanggaran dengan permukaan keras dan bukannya pergeseran dengan permukaan seperti itu.

"Dr Abang Askandar Kamel Basrull bin Abang Bruce (W18), Dr Ankimtey anak Rutel (W13) dan W12 yang memberikan rawatan kepada W6 mengesahkan kecederaan yang dialami oleh W6 adalah disebabkan pelanggaran dengan objek tumpul.

"W18 juga telah melakukan pembedahan ke atas W6 untuk merawat kecederaan yang dialami oleh W6," kata laporan Suhakam itu lagi.

Tiada ulasan: