Isnin, 14 Mei 2012

Suhakam dengar dakwaan LPKP ceroboh tanah

Suhakam,


TEMERLOH: Pendengaran Awam Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli bagi Negeri Pahang bermula semalam dengan mendengar dakwaan pengadu dari Kampung Sungai Mengkapor.

Fatimah a/p Bah Sin yang merupakan ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung mengemukakan dakwaan pencerobohan tanah di hadapan panel.

Menurutnya, keluasan kampung itu belum lagi diketahui kerana pihaknya sendiri sedang menjalankan kerja-kerja mengukur sempadan kawasan.

Demikian dinyatakan pada Sesi Pendengaran Awam Inkuiri Nasional Ke Atas Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia (NI) yang berlangsung mulai semalam hingga 17 Mei di Dewan Jelawat, Hotel Seri Malaysia Temerloh bermula jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang.

Walau bagaimanapun penduduk kampung berpegang kepada konsep Wilayah Tanah Adat dan menggangap pencerobohan yang dilakukan oleh Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) menyebabkan perkampungan mereka semakin mengecil.

Kampung Sungai Mengkapor yang terletak antara daerah Kuantan dan Maran didiami lebih kurang 300 orang penduduk bergantung hidup pada hasil hutan.

Penduduk tidak dimaklumkan dan tiada perbincangan berkenaan sebarang aktiviti yang dijalankan dalam kawasan tersebut.

Penduduk hanya menyedari berlakunya pencerobohan apabila ternampak kerja-kerja membersihkan kawasan hutan untuk penanaman kelapa sawit.

Kesannya adalah beberapa pokok getah, kebun, belukar serta kawasan kubur musnah.

Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat.

Menurut Fatimah lagi, aduan turut dibuat kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi hanya secara lisan tanpa melibatkan sebarang rekod dan dokumentasi antara kedua-dua pihak.

“Cuma apa yang pejabat tanah beri hanya 16 ekar sahaja untuk kawasan rumah dan kubur, yang lain adalah tanah kerajaan. Itupun tanpa hitam putih (tanpa dokumen pengesahan status tanah),” jelas Fatimah.

Pengurus Perancangan dan Hal Ehwal Korporat LKPP, Abd Rahim Abdullah mengatakan bahawa tuduhan terhadap LKPP menceroboh tanah Orang Asli adalah tidak benar.

Menjelaskan mengenai latar belakang organisasi, LKPP adalah sebuah badan kerajaan yang ditubuhkan pada 1971 bertujuan membangunkan sektor pertanian di Negeri Pahang.

Buat masa ini LKPP memiliki beberapa kawasan untuk penanaman kelapa sawit terutamanya dan juga terlibat dalam membangunkan ladang-ladang sosial.

Abd Rahim ketika membacakan kronologi pembangunan LKPP menerangkan bermula 1 April 2009, kerajaan negeri telah membuat keputusan terhadap cadangan FELCRA untuk memajukan tanah-tanah di Negeri Pahang seluas 3,166.89 ekar melibatkan daerah Rompin, Bera, Kuala Lipis, Maran, Kuantan dan Jerantut.

Manakala pada 23 Disember 2009, melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang telah bersetuju meluluskan secara dasar kawasan seluas 430.3 hektar kepada LKPP untuk dibangunkan sebagai ladang rakyat.

“Dalam hal ini LKPP diamanahkan untuk penanaman kelapa sawit dan keuntungan akan diagihkan kepada rakyat termiskin di Negeri Pahang,” jelas Abd Rahim.

Berdasarkan aduan pengadu, dakwaan tersebut banyak melibatkan daerah Kuantan sedangkan menurut Abd Rahim, LKPP membangunkan tanah dalam kawasan Maran.

Menurutnya lagi, dakwaan berkenaan aktiviti pembalakan adalah melibatkan kawasan dalam anggaran seluas 20 hektar dan bukannya secara keseluruhan atas tanah yang diluluskan kepada LKPP.

Inisiatif juga diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran setelah penguatkuasaan dan pemantauan dibuat meminta agar LKPP memajukan kawasan tersebut untuk mengelakkan berlakunya sebarang penerokaan haram oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuklah penduduk kampung yang terdiri daripada bukan sahaja Orang Asli tetapi juga penduduk Melayu dan Cina.

Mengenai isu dakwaan kubur dimusnahkan akibat daripada kerja-kerja membersihkan kawasan Abd Rahim menjelaskan, setakat ini mengikut pengurus ladang tiada kubur di kawasan tersebut.

Abd Rahim turut meminta agar ahli panel mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDT berkenaan penguatkuasaan yang dijalankan terhadap aktiviti penerokaan haram kerana sebagai agensi pelaksana LKPP hanya bertindak untuk menjalankan aktiviti pembangunan kawasan melibatkan penanaman dan peyelenggaraan kelapa sawit.

Merujuk kepada dakwaan pencerobohan tanah seluas 16 ekar oleh pengadu, Abd Rahim menjawab, “tanaman yang jelas kelihatan seperti pokok getah, kita tidak usik pun walaupun tanah tu dah mendapat kelulusan PDT untuk kami bangunkan dan tertakluk di bawah kelulusan sebanyak 430.3 hektar, tanah pula diterokai (diusahakan pelbagai tanaman dan aktiviti) oleh orang Melayu dan Cina secara haram (tanpa kebenaran PDT) tetapi tanah Orang Asli dalam 16 ekar dan terdapat kebun mereka kami keluarkan (tidak dibangunkan oleh LKPP).

“Persempadanan semula kawasan serta kosnya ditanggung oleh LKPP,” ujarnya.

Tiada ulasan: