Jumaat, 4 Mei 2012

Saifuddin: 'Kenapa perlu saya minta maaf'

NURUL AINI MOHAMED ALI

Saifuddin Nasution Ismail
 
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
 
SHAH ALAM –  Setiausaha Agung  PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak akan membuat permohonan maaf kepada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berhubung isu dakwaan beliau ahli Umno.

“Kenapa perlu saya minta maaf?” kata beliau apabila diminta mengulas kenyataan Wan Ahmad agar beliau memohon maaf.

Ahli Parlimen Machang ini berkata, Wan Ahmad pernah mengaku bahawa dirinya ialah ahli Umno, namun memberi alasan ‘tidak ingat’ mengenai statusnya.

Namun beliau mengakui kesilapannya jika dakwaan beliau tidak sahih, tetapi menuntut Wan Ahmad mengisytiharkan nombor keahlian Umno dan dari cawangan mana jika beliau benar-benar tidak ingat.

“Saya mempunyai dua pelan dan tindakan selanjutnya bakal dibuat berhubung perkara ini tetapi tidak dapat menjelaskan kepada media buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Susulan dengan itu, beliau berkata akan memanggil satu sidang media dalam waktu terdekat.

Dalam satu kenyataan media baru-baru ini Saifuddin mendakwa Wan Ahmad seorang ahli Umno di salah satu cawangan di Pasir Mas, Kelantan.

Kelmarin, Wan Ahmad menafikan beliau ahli Umno sebagaimana dakwaan Saifuddin.

Menurutnya, beliau tidak pernah mendaftar untuk jadi ahli Umno dan tidak pernah mengenali serta tidak mempunyai kaitan dengan individu bernama Wan Ahmad bin Wan Omar yang memegang keahlian Umno bernombor 2374564 di Cawangan Umno Kubang Bunggor, Pasir Mas, Kelantan.

“Saya juga bukan orang Kelantan tetapi berasal dari Terengganu. Saya tidak pernah tinggal di mana-mana tempat di negeri Kelantan,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata Wan Ahmad, beliau mengesyaki dakwaan Saifuddin itu semata-mata bertujuan menjatuhkan kredibiliti dirinya serta SPR.

“Dia buat tuduhan tanpa usul periksa dan semata-mata bermotif politik sehingga menjatuhkan maruah saya. Ini fitnah. Dia semata-mata mahu merosakkan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berikutan itu, Wan Ahmad menuntut Saifuddin membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka bagi membersihkan namanya.

Tiada ulasan: