Sabtu, 19 Mei 2012

Saham Bursa Malaysia dijangka terus rendah

Mohd Iswandi Kasan Anuar


Saham-saham di Bursa Malaysia dijangkakan terus rendah berikutan kebimbangan berterusan terhadap ekonomi dunia, kata penganalisis.

Pasaran tempatan juga dijangkakan mengalami aliran harga menurun berikutan prestasi ringgit dan komoditi yang lemah -- dengan ringgit, minyak dan minyak sawit mentah, masing-masing susut 2.2 peratus, 3.1 peratus dan 5.7 peratus -- ekoran faktor luar yang negatif.

Keadaan ini berpunca daripada kebimbangan berterusan terhadap pemecahan zon euro, susulan perkembangan baharu politik di Eropah dengan pihak yang antipenjimatan, membentuk kerajaan pasca pilihan raya.

Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan menjangkakan bursa tempatan akan menguji paras sokongan psikologi 1,500.

Beliau berkata pasaran terus berada dalam kedudukan yang tidak menentu berikutan kebimbangan bahawa krisis hutang Eropah kini semakin besar susulan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) menghentikan pinjaman kepada bank-bank Greece dan Sepanyol berikutan tindakan Moody menurunkan penarafan ke atas 16 bank Sepanyol.

Sementara itu pelabur terus bimbang tindakan Greece keluar dari zon euro akan memburukkan lagi sistem kewangan di seluruh benua itu.

Dalam pada itu, Nazri berkata walaupun semua kebimbangan bertumpu terhadap zon euro, peluang kini muncul apabila pasaran global tumbang.

Beliau berkata bank pusat dunia sedia melancarkan rangsangan monetari jika keadaan memerlukan, selain campur tangan oleh ECB untuk menenangkan pasaran.

"Sebarang berita oleh ECB untuk membantu secara langsung dalam mengurangkan kuantitatif besar-besaran bagi menangani krisis euro, dijangka akan meningkatkan pasaran," katanya.

Nazri juga berkata terdapat mudah tunai yang besar dalam negara selain penyenaraian tawaran awam pemulaan (IPO) besar seperti Felda, serta kemasukan projek baharu, termasuk projek RM15 bilion North Malay Basin, yang mampu menampung penurunan pasaran dalam tempoh terdekat.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran berada pada kedudukan rendah, akibat tekanan sentimen luar yang lemah.

Mengikut perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 51.86 mata kepada 1,532.46.

Indeks Kewangan susut 442.83 mata kepada 13,730.49, Indeks Perusahaan turun 112.35 mata kepada 2,681.1 dan Indeks Perladangan turun 535.69 mata kepada 8,104.51.

Indeks FBM Emas turun 408.38 mata kepada 10,444.55, Indeks FBM ACE turun 314.31 mata kepada 4,228.37, Indeks FBM Mid 70 susut 577.62 mata kepada11,302.36 dan Indeks FBM T100 turun 381.93 mata kepada 10,273.85.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.768 bilion saham bernilai RM8.262 bilion berbanding 6.033 bilion saham bernilai RM6.45 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.89 bilion bernilai RM7.97 bilion berbanding 3.702 bilion bernilai RM6.073 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.3 bilion bernilai RM215.75 juta berbanding 1.544 bilion saham bernilai RM272.771 juta.

Waran berkurangan kepada 522.02 juta unit bernilai RM63.62 juta berbanding 767.848 juta unit bernilai RM96.247 juta.- Bernama

Tiada ulasan: