Sabtu, 5 Mei 2012

Pulau Pinang gubal undang-undang pilihan raya PBT

GOKINA MORGANAN

Pulau Pinang gubal undang-undang pilihan raya PBT
 
Chow Kon Yeow menunjukkan naskhah Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai).
 
 
GEORGETOWN - Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), Khamis ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu LintasPulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, rang  undang-undang itudigubal sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kerajaan Negeri percaya kelulusan enakmen ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)," katanya pada sidang media di Komtar semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota memberitahu rang undang-undang yang digubal itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun,  Kerajaan Negeri memohon mahkamah tinggi untuk menyemak semula rang undang-undang yang dikemukakan itu sama ada selari dengan undang-undang negara.

“Sekiranya, mahkamah memutuskan rang undang-undang sah, Kerajaan Negeri meminta mahkamah mewajibkan SPR mengadakan pilihan raya tempatan,” katanya.

Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri mahu  pilihan raya tempatan diadakan dalam proses pemilihan ahli majlis sejajar dengan sistem demokrasi berparlimen.

“Ia bertujuan memenuhi jaminan dan perjuangan bagi memulihkan demokrasi untuk kerajaan tempatan selain mengembalikan kuasa kepada rakyat.

“Tanpa pilihan raya tempatan sebenarnya tidak dapat memperbaiki khidmat kepada rakyat kerana mereka tidak diberi peluang memilih pemimpin yang sesuai,” katanya.

Sejak mengambil alih kerajaan pada Mac 2008, PR melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan hak rakyat melalui pilihan raya peringkat PBT.

Pada 11 Ogos 2009, Kerajaan Negeri meluluskan usul dalam Dun menuntut Kerajaan Persekutuan menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan.

Kerajaan Negeri mendapatkan khidmat panel peguam Tommy Thomas, Yeo Yang Poh dan Malik Imtiaz untuk memberi nasihat tentang hak dan kuasa Kerajaan Negeri mengadakan pilihan raya tempatan.

Pada 13 Julai 2009, Kerajaan Negeri menghantar surat kepada Majlis Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Artikel 95A Perlembagaan Persekutuan  untuk membincangkan isu pilihan raya tempatan tetapi cadangan itu ditolak.

Berdasarkan nasihat panel peguam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menulis surat kepada SPR pada 4 Mac 2010 memintanya mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut undang-undang Persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Bagaimanapun, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, surat balasan SPR pada 23 Mac 2010 menolak permintaan Kerajaan Negeri itu.

“Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan kecuali memulakan prosiding undang-undang untuk menuntut SPR mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan melalui peruntukan undang-undang," katanya.

Tiada ulasan: