Kira-kira 70 penyokong Pemuda PAS hari ini berhimpun di hadapan ibupejabat New Straits Times di Bangsar kerana membantah penyiaran laporan berita yang menggelar Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir.

NONESambil menuntut supaya akhbar berkenaan menarik balik laporan tersebut dan membuat permohonan maaf, mereka mengadakan gimik dengan memijak dan mengoyak akhbar berkenaan.

Perhimpunan selama lebih 30 minit bermula jam 2 petang itu, diketuai Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan turut disertai beberapa exco Pemuda termasuk Kamaruzaman Mohamad dan Mohd Sany Hamzan.

"Berita itu tidak dapat diterima oleh PAS dan umat Islam," kata Khairul Faizi dalam uacapannya sambil diiringi laungan "jahanam NST" dan "boikot NST".

NONEMenurutnya lagi, sekiranya akhbar berkenaan enggan berbuat demikian, pihaknya mengancam untuk membakar akhbar itu dalam perhimpunan PAS pada 1 Jun ini di Kedah.

Manakala Mohd Sany (bawah, berbaju oren) dalam ucapannya pula berkata pihaknya boleh menerima dakwaan bahawa menteri besar Kelantan itu tidak pandai memerintah negeri atau negeri itu mundur dengan menjawab kembali tuduhan itu.

Beliau yang juga pengarah jabatan pilihan raya Pemuda PAS bertanya kepada penyokongnya yang hadir, bolehkah mereka menerima tuduhan Nik Aziz bapa kafir.

NONE"Tidak," jawab penyokong yang hadir.

Sementara itu, Kamaruzaman yang ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan laporan tersebut "sangat biadab".

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan itu, beliau berkata, perhimpunan hari ini adalah langkah susulan selepas mereka menghantar memorandum minggu lalu, menuntut akhbar itu menarik balik laporannya dan memohon maaf.

"Tetapi kita dapat surat balas menyatakan berita itu sah, maka kita tuntut sekali lagi (hari ini) permohonan maaf dan laporan itu ditarik balik," katanya.

NONEKamaruzaman berkata pihaknya memberi tempoh seminggu lagi kepada NST untuk berbuat demikian, jika tidak pihaknya akan memboikot akhbar terbitan syarikat tersebut.

Sebelum itu, sejurus selesai ucapan dan doa dibacakan, Mohd Sany serta beberapa pemimpin dewan itu, bertindak memijak naskhah akhbar tersebut.

Pada mulanya, mereka mahu memijak akhbar tersebut di dalam kawasan pejabat NST, tetapi dihalang oleh anggota polis. Kira-kira 10 anggota polis berkawal di situ.

Sebelum itu, kumpulan penyokong Pemuda PAS berarak daripada Masjid Abu Bakar, Bangsar berhampiran premis syarikat akhbar berkenaan.

Mereka membawa poster antaranya tertulis: "Damn You NST" dan "Boikot NST" sambil melaungkan takbir, "Hidup Islam", "Sayang Tok Guru" dan "NST Fitnah".