Bekas peguam N.Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, menafikan urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang membabitkan jutawan kosmetik itu adalah satu penipuan.
  
Pathmanabhan, 43, membuat penafian itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhubung pembelian tanah bernilai RM25 juta oleh syarikat Sosilawati, Southern Symphony Sdn Bhd, daripada ahli perniagaan India, A.Muthuraja pada 2008.
  
Kepada soalan lain, tertuduh yang merupakan peguam Sosilawati ketika urusan jual beli berkenaan, berkata dia tahu tiga lot tanah di Batu Ferringhi itu mempunyai empat kaveat.
  
"Oleh kerana terdapat empat kaveat, tidak terfikirkah ini merupakan 
transaksi yang mencurigakan?" soal Saiful Edris.
  
"Sebab itu saya failkan di mahkamah untuk perintah penarikan kaveat," jawab Pathmanabhan yang merupakan saksi pertama pembelaan.
  
Ketika Saiful Edris merujuk kepada surat sebuah firma guaman di Pulau Pinang yang memaklumkan terdapat keraguan dalam urusan jual beli tanah berkenaan, Pathmanabhan tetap menafikan transaksi itu satu penipuan.
  
"Saya pernah tulis surat kepada firma guaman berkenaan meminta mereka serahkan dokumen sebagai bukti kenapa mereka cakap transaksi itu satu penipuan, tetapi mereka tidak membalasnya dan firma guaman itu juga tidak pernah failkan sebarang permohonan di mahkamah untuk mempertikaikan tuntutan saya," katanya.
  
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
  
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
  
Kepada satu soalan, Pathmanabhan berkata walaupun tanah itu mempunyai kaveat, dia masih meneruskan transaksi jual beli kerana Sosilawati berminat untuk membeli tanah berkenaan.
  
Tertuduh turut disoal berhubung keterangannya semalam yang mendakwa dia telah meminjamkan wang sebanyak RM4 juta kepada Sosilawati.
  
"Berdasarkan penyata akaun kamu, saya katakan kamu tiada wang untuk menunaikan cek RM4 juta itu," kata Saiful Edris dan Pathmanabhan menjawab tidak setuju.
  
"Bila Sosilawati datang berjumpa kamu pada 30 Ogos 2010, kamu tiada wang untuk menunaikan cek itu," kata Saiful Edris dan tertuduh menjawab tidak setuju.
  
"Malah, kamu tiada wang dan gunakan wang Sosilawati untuk 'rolling' wang dalam akaun kamu," kata Saiful Edris dan sekali lagi Pathmanabhan menjawab tidak  setuju.  
   
Saiful Edris kemudian merujuk tertuduh kepada beberapa rekod transaksi pengeluaran wang daripada akaun Southern Symphony, yang jumlah dan tarikhnya sama dengan jumlah serta tarikh kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh.

"Setuju atau tidak, kalau Sosilawati tidak masukkan wang dalam akaun pelanggan, kamu tiada wang," kata Saiful Edris dan Pathmanabhan menjawab tidak setuju.
  
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa dia melakukan pecah amanah apabila memasukkan wang dari akaun pelanggan ke akaun miliknya.
  
"Saya ada kebenaran daripada pelanggan saya (untuk mengeluarkan wang daripada akaun pelanggan)," katanya.
  
Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Pathmanabhan menafikan dia memaksa Sosilawati menandatangani surat kebenaran itu (kebenaran mengeluarkan wang daripada akaun pelanggan) pada malam 30 Ogos 2010 di Ladang Gadong.
  
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa dia mengundurkan tarikh asal di surat itu, yang sepatutnya bertarikh 30 Ogos 2010 kepada 11 Ogos 2010.
  
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 3 Julai ini.- Bernama