Ahad, 13 Mei 2012

Kutipan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau tak lagi relevan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Umno BN memansuh dan menutup operasi Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang tidak relevan dan membebankan rakyat .

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata operasi kedua-dua plaza tol itu membebankan rakyat berikutan pemilik konsesi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya, perjanjian kutipan tol perlu dibatal segera  kerana Lebuhraya Utara Selatan Bhd (Plus) sudah memperoleh pulangan modal, malah mengaut keuntungan hampir 20 tahun.



“Menjadi tanggungjawab kerajaan memberi kemudahan terbaik kepada rakyat termasuk lebuh raya dan bukannya bersikap membebankan rakyat yang harus membiayai setiap kos.

“Malah, rakyat turut berdepan  kenaikan harga tol, harga barang keperluan dan makanan, selain harga petrol,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Kutipan di kedua-dua plaza tol mula berkuat kuasa sejak 15 November 1993 sehingga sekarang dengan kos pembinaan Lebuh raya Persekutuan berjumlah RM357 juta.

Sehingga kini, Plus yang memiliki konsesi sehingga 2018, sudah mencatat keuntungan hampir 20 tahun.
Fariz Musa kesal kerana kerajaan Umno BN memindah beban  kos pembinaan kepada rakyat, kemudian membiar Plus mengaut keuntungan berlipat kali ganda tanpa rasa bersalah.

Sebaliknya, beliau yakin dengan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan tol kerana ia bersifat realistik, bukan retorik.

Sehubungan itu, katanya, rakyat diseru turun beramai-ramai ke perhimpunan aman memansuh tol anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor jam 2 petang pada 13 Mei ini

“Rakyat harus bangkit menolak Umno BN bagi memastikan sebuah kerajaan mengurus tadbir negara dengan lebih cemerlang,” katanya.

Tiada ulasan: