Ahad, 6 Mei 2012

Kecam polis: Khalid Ismath tertekan kerana ibu dizalimi, KAMI



Oleh Khairul Naim Rafidi 


Rentetan daripada tindakan Khalid Ismath yang menulis status di laman sosial facebook beberapa hari yang lepas, empat orang anggota Polis dari Unit Cawangan Khas IPK Klang telah hadir ke rumah Khalid pagi tadi.

Status yang dianggap mengecam Polis itu kami kira sebagai satu bentuk ekspresi yang dilakukan bila mana dirinya berada dalam keadaan tertekan dan hiba melihat ibu kesayangan Faridah Abdul yang dizalimi ketika Himpunan BERSIH 3.0.

Ibunya (gambar kiri) terpaksa bermalam lima hari di hospital kerana cedera parah.  Sudah tentu sebagai manusia Khalid juga punyai rasa amarah apabila berdepan dengan perkara seperti ini.  Lebih-lebih lagi ibunya merupakan warga emas yang hadir ke perhimpunan tersebut hanya untuk melihat kebangkitan anak muda.

Malangnya, ia berakhir dengan satu tragedi malang apabila pihak polis mula membuat tembakan gas pemedih mata dan meriam air.

Lantaran itu, Khalid mula bertindak menulis di laman sosial facebook bagi mengekspresikan rasa amarah kepada pihak yang bertanggungjawab.

 Bagi kami, ia bukanlah satu kesalahan yang besar memandangkan banyak lagi unsur menghasut dalam laman sosial yang masyarakat secara umum ketahui.  Kenapa pula tiada dikenakan apa-apa tindakan?

Atas permintaan Unit Cawangan Khas yang hadir pagi tadi, Khalid (gambar kanan) yang merupakan Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) akan menghadirkan diri ke IPK Kuala Lumpur esok jam 10 pagi.  Kami berharap siasatan dapat dijalankan dengan baik dan berhemah. InsyaAllah.

*Kenyataan media oleh Khairul Naim Rafidi selaku Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Tiada ulasan: