Ahad, 27 Mei 2012

Jingga 13: "PM bukan Melayu" propaganda murahan

 DK Vicky


JINGGA 13 menyatakan sokongan tehadap kenyataan dan pendirian Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP yang menyatakan Perdana Menteri tetap daripada orang Melayu membuktikan bahawa segala propaganda murahan UMNO dan Media UMNO telah pun terjawab dan menafikan segala hasutan dan sentimen perkauman yang dimainkan yang bertujuan meraih sokongan secara kotor dan jijik.

UMNO dan media UMNO sepatutnya sedar bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan tercatat secara jelas bahawa tidak termaktub hanya orang Melayu sahaja boleh menyandang jawatan Perdana Menteri.  Berdasarkan perlembagaan mana-mana warganegara boleh menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sentimen perkauman yang cuba dicetuskan bukan sahaja bertujuan memburukkan DAP dan Pakatan Rakyat tetapi bertujuan mewujudkan ketegangan kaum yang boleh mengugat keharmonian dan perpaduan kaum yang telah terbina sekian lama di atas prinsip dan dasar yang jelas dipupuk demi kecintaan kepada negara, malah kesetiaan pelbagai kaum di Malaysia terhadap Raja dan Negara sudah tidak perlu dipertikai dan dinafikan oleh sesiapa pun.

UMNO dan media UMNO terutama Utusan Malaysia wajib menghentikan segala propaganda murahan yang sengaja diwujudkan bagi tujuan kepentingan meraih sokongan orang Melayu dalam pilihanraya semata-mata.

JINGGA 13 yakin seluruh rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan propaganda murahan tersebut kerana rakyat Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai sesuatu maklumat dengan bijaksana di atas prinsip perpaduan kaum yang sama-sama membangunkan negara Malaysia tercinta ini.

*Kenyataan media oleh DK Vicky selaku Setiausaha JINGGA 13.

Tiada ulasan: