Khamis, 24 Mei 2012

Datuk Bandar KL tak peduli rakyat

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Jika jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipertandingkan untuk dipilih oleh rakyat, sudah pasti kerajaan tempatan yang berjiwa rakyat akan membenarkan Dataran Merdeka dibuka untuk perhimpunan aman BERSIH 3.0 pada bulan lalu.

Justeru, Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) DAP Selangor sebulat suara hari ini menyatakan tuntutan mereka supaya pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur diadakan semula setelah digantung oleh kerajaan Perikatan pada tahun 1960-an dan diharamkan sepenuhnya oleh Barisan Nasional pada 1970-an.

Menurut mereka, akibat penolakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap permohonan BERSIH 3.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka pada 28 April lalu, Datuk Bandar Datuk Ahmad Fuad Ismail telah secara langsung menjadikan satu peristiwa yang aman dan bersifat demokrasi bertukar menjadi “haram dan tidak aman.”

“Ini amat berbeza daripada apa yang berlaku di Pulau Pinang. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah membenarkan Padang Kota digunakan oleh orang ramai untuk berhimpun secara aman pada 28 April lalu. Setelah selesai acara tersebut, para hadirin dipesan penganjur supaya sama-sama membersihkan padang sebelum bersurai.”

“Ini telah menyenangkan kerja-kerja kutipan sampah dan langsung tidak membebankan PBT tersebut,” kata wakil kumpulan berkenaan Lee Kee Hiong di sini pagi tadi.

Ahli-ahli PBT DAP itu juga mengutuk sikap Datuk Bandar yang gagal bertindak terhadap protes gerai burger di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, walau pun mereka berhimpun secara haram dan mendirikan gerai secara haram serta menceroboh ruang peribadi dan kawasan rumah keluarga orang.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur gagal mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja mengubah bentuk jalan di bawah penyelenggaraan DBKL dan mendirikan gerai burger di hadapan rumah Datuk Ambiga. Ini suatu kelalaian dalam melaksanakan tugas mereka,” kata Lee yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Beliau berkata, mereka memandang serius keputusan-keputusan yang dibuat oleh Ahmad Fuad terhadap beberapa perkara yang berlaku baru-baru ini yang telah menjejaskan imej dan keyakinan pembayar cukai terhadap fungsi dan tugas DBKL.

“Kami mendapati keputusan-keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar KL bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah merumitkan keadaan lagi. Ini secara terang-terang telah bertentang dengan kehendak rakyat dan warga kota Kuala Lumpur.”

“Kami menggesa supaya Datuk Bandar KL meletak jawatan dengan segera. Kami juga menyeru kerajaan BN supaya meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pilihan raya tempatan dipulihkan, bermula dengan pilihan raya DBKL supaya rakyat ibu kota dapat memilih Datuk Bandar yang benar-benar mewakili hasrat mereka,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: