Sabtu, 19 Mei 2012

Bian putar belit fakta – Rahman

 
Wakil rakyat PKR itu mendakwa Sarawak sebagai antara empat buah negeri termiskin di Malaysia.

 

Sekitar Dun Sarawak

 
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini dikejutkan dengan tindak tanduk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Bukit Kota yang menuduh wakil rakyat pembangkang hanya pandai memutar belit fakta dan berpendirian autokratik. Wakil rakyat tersebut, Dr Abdul Rahman Ismail memberi contoh bagaimana Baru Bian (PKR – Ba’Kelalan) memutar belit fakta dengan mendakwa Sarawak sebagai antara empat buah negeri termiskin di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Usul Penghargaan Ucapan Yang di-Pertua Negeri dalam persidangan Dun Sarawak di sini yang masuk hari keempat hari ini.

“Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa paras kemiskinan telah menurun dari 31.9 peratus pada tahun 1995 kepada 5.3 peratus tahun 2009.

“Perangkaan dari Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan per kapita dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak menduduki tepat ketiga mengatasi negeri Selangor pada tahun 2010,” jelasnya.

Polis terlibat dengan dadah? 

Selain itu, Rahman juga membidas Bian yang membuat tuduhan melulu  apabila menyatakan seorang daripada lima anggota polis di Limbang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Ini satu tuduhan yang serius dan jika YB tidak dapat membuktikan secara fakta perlulah YB tarik balik kenyataan ini,” tegasnya.

Menurutnya, Bian berminat untuk merampas kawasan Parlimen Limbang dari BN seperti yang dibuktikan apabila Bian bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Limbang baru-baru ini tetapi sambutannya sangat dingin.

“Program di Tanah Layang terpaksa di adakan di kaki lima kedai dan program di rumah panjang tidak diterima penduduk,” katanya.

Untuk meyakinkan bahawa pembangkang suka memutar belit fakta, Rahman memberi contoh lain.
Katanya, Fong Pau Teck (DAP – Pujut) pernah menyatakan sempadan Sindumin-Lawas dan Limbang-Brunei pernah ditutup sedangkan pada hakikatnya sempadan itu tidak pernah ditutup terutama bila berlaku kes-kes kecemasan yang melibatkan pesakit.

“Jika ada kecemasan pihak Imigresen kedua-dua negara akan membenarkan pergerakan melalui sempadan ini,” jelasnya.

“Inilah kerja pembangkang, semua putar belit. Kalau ada yang cakap betul kena pecat atau terpaksa letak jawatan. Apa yang jadi kepada

Pesuruhjaya PAS Selangor? Apa jadi kepada Naib Presiden DAP Pusat? Ini bukan demokrasi, ini autokrasi,” tegasnya.

Tiada ulasan: