Sabtu, 5 Mei 2012

Bersih: Peniaga tuntut Ambiga bayar ganti rugi

HIDAYAH HAIROM

Bersih: Peniaga tuntut Ambiga bayar ganti rugi
 
Peniaga-peniaga sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman berkumpul untuk memperlihatkan bantahan dan menuntut ganti rugi ekoran perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu lalu. 
 
 
KUALA LUMPUR - Pertubuhan  Ikatan  Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) terus menempelak penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 atas alasan yang membawa kerugian kepada peniaga-peniaga sekitar ibu kota minggu lalu.

Hari ini, peniaga-peniaga mengadakan protes untuk menuntut pampasan dan ganti rugi daripada penganjur perhimpunan, yang mereka sifatkan sebagai pihak bertanggungjawab atas kerugian dialami.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya tetap akan menuntut ganti rugi dan dalam masa yang sama, mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan demonstrasi aman di hadapan rumah Ambiga sekiranya Kementerian Dalam Negeri gagal mengambil tindakan sewajarnya.

"Ambil tindakan terhadap Ambiga, jangan tangkap ikan sahaja, kita mahu Ambiga bertanggungjawab.

"Ramai peniaga yang terjejas, takut untuk berniaga disebabkan penganjuran ini dan ura-ura penganjuran Bersih 4.0 juga membimbangkan peniaga," katanya.

Sinar Harian Online difahamkan, sehingga kini Ikhlas telah menerima kira-kira 200 aduan berhubung kerugian peniaga dengan anggaran kira-kira RM200,000 hingga RM300,000.

Ikhlas juga akan membuka kaunter aduan ganti rugi untuk tempoh seminggu bagi tujuan dikumpulkan sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, ura-ura penganjuran Bersih 4.0 selepas berlangsungnya Bersih 3.0 pada 28 April lalu, nyata membimbangkan peniaga kerana mendakwa mereka bukan hanya rugi kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut, tetapi kesannya bermula sejak beberapa hari sebelum itu.

Timbalan Presiden Ikhlas, Hasmizi Abu Hashim berkata, sekiranya Bersih 4.0 yang diuar-uarkan diadakan, para peniaga akan mengambil langkah untuk menyerang penyokong Bersih.

“Kami tidak mahu menanggung kerugian lagi,” katanya lagi.

Peniaga pakaian, Azhar Abdul Ghani, 49, berkata, dia tidak dapat menerima keadaan yang bakal berlaku sekiranya perhimpunan bersih terus diadakan.

Katanya, beberapa hari sebelum berlangsungnya perhimpunan tersebut juga, perniagaannya merosot disebabkan ramai pengunjung takut untuk keluar.

"Pada hari Sabtu juga saya rugi. Biasanya saya boleh memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM5,000," katanya.

Dalam pada itu seorang lagi perniaga Ikhlas Ridzuan, 49, berkata, sebagai peniaga yang sudah menjalankan perniagaan sejak 36 tahun lalu, dia menolak sekeras-kerasnya perhimpunan Bersih daripada terus diadakan, apatah lagi dianjurkan di lokasi perniagaan mereka.

“Ia akan menjejaskan perniagaan kami, bukan hanya pada hari perhimpunan tetapi kesannya terasa sejak dua hari sebelum itu," katanya.

Tiada ulasan: