Khamis, 3 Mei 2012

Bayan Mutiara: Guan Eng kesal laporan Bernama

Harakahdaily,
 
 
KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng berasa kesal pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Bernama telah menyalahgunakan kebebasan untuk membuat laporan mengelirukan tentang jawapannya dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam berkaitan penjualan tanah Bayan Mutiara secara tender terbuka.
“Semalam, saya mengakui bahawa kerajaan negeri tidak mengikut penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta kerana anggaran harga itu adalah terlalu rendah,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.

Katanya, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dalam surat bertarikh 5 November 2009 telah menganggarkan harga sebanyak RM65 sekaki persegi.

Sebaliknya, jelas Guan Eng kerajaan negeri tidak mengikuti harga R65 sekaki persegi dan menetapkan harga rizab sebanyak RM200 sekaki persegi, iaitu lebih 3 kali ganda daripada penilaian Jabatan Penilaian.

Beliau menambah, dalam tender terbuka yang tutup pada 31.12.2010, pemaju yang tawarkan harga paling tinggi sebanyak RM240 sekaki persegi dipilih ataupun sebanyak RM1.07 bilion untuk 102.56 ekar.

“Malangnya dalam laporan semalam, Bernama enggan menyiarkan harga penilaian yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian sebanyak RM65 sekaki persegi tetapi hanya pengakuan bahawa saya tidak mengikut harga penilaian Jabatan Penilaian.

“Ini akan memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri telah menetapkan harga yang lebih rendah daripada yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian,” katanya lagi.

Biasanya, kata beliau kerajaan BN tidak memakai tender terbuka dan akan menetapkan harga yang lebih rendah daripada harga Jabatan Penilaian.

Guan Eng berkata, demi mengelakkan gambaran yang mengelirukan, pejabat beliau telah meminta Bernama membetulkan laporan mengelirukan itu dengan menyiarkan harga penilaian oleh Jabatan Penilaian tetapi Bernama enggan buat demikian.

“Saya kesal dengan keengganan Bernama menyiarkan semua fakta berkaitan yang jelas disengajakan agar memberikan laporan yang mengelirukan,” ujarnya.

Tiada ulasan: