Selasa, 20 Disember 2011

TV Internet: Najib tidak faham kehendak belia

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak faham dengan kehendak belia hari ini sehingga terpaksa melancar TV internet.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, isu media tidak berbangkit di negara ini tetapi yang menjadi isu adalah kandungan media.

"Sebenarnya bukan masalah media yang tidak cukup, tetapi laporan dalam media yang sudah tidak beretika dan berat sebelah menyebabkan golongan belia mual dengan laporan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapatan, Barisan Nasional resah kerana propaganda mereka tidak lagi dipercayai terutama di kalangan anak muda.

Media tradisional seperti televisyen dan akhbar tidak lagi membantu BN untuk meyakinkan anak muda di negara ini.

Idris berkata, langkah Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan televisyen Internet dan mobil pertama dengan harapan menjadi wadah dan sumber terbaru bagi belia mendapatkan maklumat, berita, mesej yang meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut tidak akan berkesan.

"Pelik juga rakyat melihat gelagat pemimpin BN yang takut dengan bayang-bayang kebangkitan rakyat yang terdiri daripada anak muda," tulisnya.

Bagi beliau, pemimpin BN sedar seramai 4.5 juta daripada 12 juta pengundi atau 38.8% daripada golongan belia yang bakal menjadi pengundi PRU 13.

Ini merupakah langkah terakhir yang Datuk Seri Najib terpaksa lakukan untuk memastikan golongan ini menyebelahi BN, katanya.

Bagi Idris, bukan masalah media yang tidak cukup, tetapi laporan dalam media yang sudah tidak beretika dan berat sebelah menyebabkan golongan belia mual dengan laporan tersebut.

"Belia pada hari ini mahu politik baru yang telus dan berintegriti.

"Mereka mempunyai maklumat dan merasakan perlu perubahan politik di negara ini.

"Belia mengetahui kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat menguruskan negeri begitu cemerlang berbanding dengan pemimpin BN yang penuh dengan penyelewingan dan ketirisan," katanya.

Semua maklumat ini diperolehi melalui media baru, tambah beliau.

"Apa makna televisyen internet jika kandungan berita yang diambil daripada Media Perdana, dengan ini tidak ada apa yang baru kepada belia," tambahnya.

Mereka bukan lagi belia di zaman Datuk Najib menjadi ketua pemuda Umno, yang hanya menjadi belia kompang dan sehelai baju T, katanya.

Belia pada waktu itu boleh diupah dengan sebiji karipap dan sebotol air mineral.

"Sekarang mereka sudah berubah, walaupun nampak berpakaian "rock" tetapi motor ditampal gambar Tuan Guru Nik Aziz," kata Idris.

Tiada ulasan: