Isnin, 12 Disember 2011

Tiga Tawaran Bagi Peneroka Bandar PJS1

Oleh Afeeqa Afeera


PETALING JAYA, : Kerajaan Selangor menawarkan tiga pilihan Rumah Mampu Milik kepada penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya untuk memilih penempatan baru yang lebih selesa dan sempurna bagi memberi laluan kepada pembinaan sekolah di kawasan itu.

Antara pilihan tersebut adalah Rumah Mampu Milik (rumah kos rendah) blok E dan F, Taman Petaling Utama bernilai RM99,000 dengan kemudahan infrastruktur lengkap seperti sekolah dan kuil.

Lagi satu tawaran ialah rumah kos rendah secara percuma di kawasan Lembah Subang 2 bernilai RM35,000 beserta wang tunai sejumlah RM20,000.

Selain itu, penduduk turut berpeluang memilih rumah kos rendah yang juga ditawarkan secara percuma bernilai RM35,000 beserta wang tunai sejumlah RM13,000 di tiga kawasan berlainan iaitu Sungai Buloh, Taman Damai Utama atau Klang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tawaran rumah mampu milik yang dicadangkan kerajaan negeri itu adalah tawaran terbaik yang akan memberi kesenangan serta kemudahan kepada penduduk kelak.

Ini kerana, kawasan itu akan dibangunkan dengan pembinaan lebuh raya baru bagi kemudahan laluan penduduk selain pembinaan sekolah jenis kebangsaan seperti yang dipersetujui bersama Kementerian Pelajaran serta beberapa kemudahan prasarana lain.

"Perkara ini tidak pernah selesai sejak enam tahun lalu sehingga kerajaan negeri terpaksan campur tangan untuk menyelesaikannya. Kerajaan negeri mendapati antara masalah yang berlaku di kawasan tersebut adalah ketiadaan sekolah kebangsaan yang mencukupi untuk anak-anak penghuni di kawasan berkenaan.

Oleh sebab itu, saya telah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk mendirikan sekolah kebangsaan di kawasan tersebut dan juga penempatan sekolah cina dan tamil. Sekiranya kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah bersama penduduk, maka masalah penempatan sekolah juga akan selesai," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada penduduk dalam satu majlis perjumpaan bersama pembeli-pembeli rumah kos rendah blok E, Taman Petaling Utama di sini petang tadi.

Hadir sama, Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ronnie Liu serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohammad Roslan Sakiman.

Abdul Khalid berkata, penduduk diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk membuat pilihan berhubung tawaran rumah kos rendah yang ditawarkan kerajaan negeri.

Ujarnya, pembinaan rumah mampu milik itu telahpun mendapat sokongan penuh penduduk di kawasan itu dan mencukupi untuk kesemua penghuni di penempatan baru.

Kerajaan negeri juga akan berurusan dengan pihak bank dalam masa terdekat bagi memohon pengurangan pembayaran kadar faedah yang terpaksa ditanggung penduduk selama ini, tambahnya.

"Kita perlu memberi masa kepada penduduk untuk membuat pilihan memandangkan perkara ini baru diperdengarkan sebentar tadi. Kerajaan negeri memberi peluang kepada penduduk untuk meneliti cadangan ini terlebuh dahulu sebelum membuat sebarang keputusan supaya hal ini dapat diselesaikan," katanya.

Rumah panjang tersebut merupakan penempatan transit bagi 29 keluarga peneroka bandar sehingga rumah kos rendah mereka disiapkan.

Rumah kos rendah mereka telah mula dibina pada tahun 2004 pada satu tapak berdekatan tetapi mendapat bantahan dari penduduk tempatan yang mengambil tindakan mahkamah untuk memberhentikan projek tersebut.

Walaubagaimanapun pada tahun 2009, Kerajaaan Pakatan Rakyat berjaya mendapatkan persetujuan pemaju untuk membina rumah kos rendah ini di tapak alternatif yang bertentangan dengan rumah panjang tersebut.

Setiap keluarga telah ditawarkan RM 10,000 untuk bantuan sewa dan perpindahan ke rumah transit yang lain sehingga rumah kekal mereka siap.

Bantuan sewa dan perpindahan ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan negeri, MBPJ dan pemaju di mana ia akan dibayar secara sekaligus.

Kerajaan negeri memutuskan penduduk rumah panjang perlu berpindah keluar agar mereka dapat tinggal di dalam keadaan yang lebih sempurna.

Tambahan pula, tapak tersebut diperlukan untuk membina sebuah sekolah kebangsaan.

Walau bagaimanapun tawaran Kerajaan Negeri ini telah ditolak oleh penduduk pada 2 Mei 2010.

Justeru, pada 12 Mei 2010 setiap keluarga telah ditawarkan RM14,285, namun hanya terhad kepada sembilan buah keluarga sahaja.

Akibat dari keengganan penduduk untuk berpindah, maka kerajaan persekutuan pada 11 Ogos 2010 telah menangguhkan pembinaan sekolah kebangsaan itu.

Tiada ulasan: