Sabtu, 24 Disember 2011

‘Terima kasih Ibrahim Ali, saya masih bersama PAS’

Dr Hasan Ali menegaskan beliau masih mahu berjuang dalam PAS dan fokus terhadap usaha untuk menyampaikan mesejnya selama ini.



KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menolak tawaran Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mempelawanya menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Perkasa pada dasarnya memperjuangkan Islam, keistimewaan Melayu dan kedaulatan institusi Raja.

Malah Dr Hasan menegaskan beliau masih mahu berjuang dalam PAS dan fokus terhadap usahanya untuk menyampaikan mesejnya selama ini.

Ibrahim semalam dilaporkan berkata sudah sampai masanya Dr Hasan membuat keputusan menyertai Perkasa jika merasakan perjuangannya dalam PAS tidak mampu memenuhi hasrat dan cita-citanya itu memandangkan Adun PAS Gombak Setia itu sudah pun dipinggirkan oleh parti sendiri.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata beliau telahpun menyatakan hasratnya itu kepada Dr Hasan sebelum ini tetapi setakat ini belum menerima apa-apa jawapan.

Jumpa presiden

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ibrahim Ali kalau ada tawaran tapi beri saya peluang untuk berjuang dalam wadah sedia ada yang diberikan kepada saya untuk tentukan wadah ini memberi impak dan kesan kepada 28 juta umat Islam di negara ini.

“Di peringkat ini saya tak terima,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya tentang pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan isu ini, beliau berkata
setakat ini tidak mendapat apa-apa arahan atau surat daripada pimpinan, namun tetap bersedia bila-bila masa sekiranya dipanggil.

“Saya perlu berjumpa dengan pimpinan parti kerana saya patuh kepada pimpnan parti, saya perlukan bimbingan mereka tentang polemik yang berlaku, selain ada beberapa cadangan yang nak disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.

Beliau turut akur dengan perintah pimpinan parti untuk tidak membuat kenyataan terbuka dan menganggap ini sidang media terakhir dalam isu ini, namun mempertahankan tujuannya hari ini adalah kerana Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mencabarnya supaya menjawab dakwaan tentang perjumpaan dengan orang Umno Julai lalu bagi mengelakkan tanggapan negatif ahli dan masyarakat lain.

Tiada ulasan: