Selasa, 27 Disember 2011

Rahsia pemberi maklumat dijamin, kata polis Kedah

MALAYSIA KINI

Polis Kedah hari ini memberi jaminan identiti serta maklumat orang awam yang memberi butiran mengenai kegiatan jenayah tidak akan didedahkan.

Sehubungan itu, Ketua Polis negeri Datuk Ahmad Ibrahim meminta masyarakat di negeri tersebut meneruskan kerjasama baik dengan polis bagi memastikan usaha pembanterasan jenayah berjalan lancar.

"Saya yakin dengan kerjasama erat dan baik yang terjalin antara masyarakat dan pasukan polis, indeks jenayah dapat dikurangkan lagi," katanya ketika berucap merasmikan kempen cegah jenayah Polis Daerah Kubang Pasu, di Jitra hari ini.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad berkata polis Kedah merancang beberapa pendekatan baru untuk dilaksanakan pada tahun 2012 bagi mengurangkan kegiatan jenayah.

Antaranya ialah menumpukan kepada kempen 'walkabout' pencegahan jenayah di kawasan kampung di luar bandar yang akan diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan.

Beliau juga berpuas hati kempen 'walkabout' yang diadakan di lima daerah tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan dan mencapai matlamat. Bernama

Tiada ulasan: