Khalid Atan berkata, lazimnya pekerja-pekerja mengharapkan perlindungan daripada kerajaan dan oleh itu, jika ada apa-apa penggubalan ataupun pindaan menjejaskan kepentingan mereka, ia akan mengganggu sokongan atau undi ketika pilihan raya.
“Mungkin, mungkin ada,” kata beliau ketika ditanya mengenai kesan sokongan para pekerja, yang dianggarkan lebih lima juta orang merupakan pengundi jika kerajaan enggan memenuhi desakan MTUC agar jangan meneruskan pindaan Akta Kerja.
Rang Undang-undang Kerja 2011 sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu tanpa mempedulikan piket kongres itu tiga hari sebelum itu.
Ia kini menunggu giliran untuk diluluskan di Dewan Negara.
Ketika ditanya sama ada MTUC akan membincangkan syor agar badan induk kesatuan sekerja itu mengisytiharkan perang ke atas kerajaan BN jika Rang Undang-undang Kerja diluluskan juga, Khalid berkata, “saya tidak boleh membuat keputusan seorang diri.”
“Bagaimanapun jika dibawa ke majlis am, MTUC akan membincangkan, kita serah kepada majlis am,” katanya lagi sambil menambah, ini bukan keputusan individu.
Beliau juga menekankan MTUC merupakan sebuah badan yang tidak memihak mana-mana parti politik.
Perhimpunan membantah pindaan Akta Kerja hari ini, yang disertai lebih 1.000 pekerja dari Kuala Lumpur dan Selangor, turut disertai wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Zuraida Kamaruddin dan Abdullah Sani masing-masing Ahli Parlimen Ampang dan Kuala Langat.
Pada 27 November lalu, Setiausaha Kewangan MTUC Alias Awang Ibrahim menegaskan, badan induk pekerja itu akan mengisytihrkan perang ke atas kerajaan BN jika Rang Undang-undang Kerja 1955 dipinda di Dewan Negara kelak.
MTUC sebelum ini membantah pindaan terbaru yang menyediakan peruntukan kontroversial sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Alias Awang berkata, badan induk itu yang dianggotai 390 kesatuan akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan-pindaan dibawa ke atas Akta Kerja sekarang.
“Jika ia diluluskan di Dewan Negara maka MTUC akan mengisytiharkan perang ke atas mereka (kerajaan). Tiada ruang untuk berkompromi,” kata beliau.
MTUC telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.
Ketika ditanya sama ada MTUC mahu mengadakan piket kedua di pekarangan Parlimen menjelang pembentangan di Dewan Negara, Khalid berkata, ia juga akan diputuskan oleh majlis am kelak.
“Piket ini sama ada perlu atau tidak akan diputuskan oleh majlis am,” katanya dan menjelaskan mesyuarat badan tertinggi MTUC belum diputuskan.
Pada perhimpunan pekerja peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan hari ini, peserta berikrar bahawa “MTUC menentang sepenuhnya pindaan Rang Undang-undang Kerja yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2011, sehingga pindaan ini ditarik balik dari Dewan Negara supaya ia tidak boleh dilaksanakan.”
Mereka juga berikrar untuk memberi sokongan kepada parti-parti politik yang sanggup menolak pindaan ke atas Akta Kerja dan yang menyokong perjuangan pekerja.
“Dengan ini kami tetap teguh dan terus berjuang dengan tegas menentang mereka yang menzalimi kaum pekerja serta menuntut supaya dikembalikan hak pekerja seadilnya,” bunyi ikrar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan