Sabtu, 24 Disember 2011

PAS bidas Jamil guna wang zakat MAIWP

"Apakah Datuk Jamil Khir tidak terfikir kemungkinan pinjaman dana tersebut boleh menafikan mereka yang layak mendapat zakat daripada menerimanya."



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggunakan wang zakat sebagai deposit untuk membayar kos guaman tuntutan qazaf oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini berikutan laporan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang yang mengesahkan sejumlah RM 63,650 wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digunakan sebagai deposit bagi membayar kos guaman yang dihadapi Jamil Khir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwaraya Shamsuddin Hussain.

Timbalan Ketua DPPWP Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata, meskipun MAIWP menjelaskan wang zakat itu telah pun dibayar kembali namun keadaan ini boleh menimbulkan persepsi negatif bahawa dana zakat boleh diselewengkan dengan begitu mudah untuk tujuan peribadi oleh mereka yang berkuasa dalam menjaga dana zakat tersebut.

“Umum mengetahui bahawa dana zakat hanya boleh disalurkan kepad asnaf yang berkaitan dan tidak boleh digunakan dengan tujuan yang lain, apatah lagi jika ianya bersifat peribadi.

“Walaupun dana itu hanya berstatus pinjaman sementara dan telah pun dipulangkan kembali, namun sebagai entiti yang menjaga kepentingan umat Islam khususnya dana zakat umat Islam di Wilayah Persekutuan, tindakan tersebut menimbulkan pertikaian,” kata Mohd Suhaimi dalam satu kenyataan hari ini.

`Menafikan yang layak’

Katanya, isu ini pastinya menimbulkan kekecewaan di kalangan umat Islam kerana dalam keadaan ramai yang mengadu sukar mendapat zakat di Wilayah Persekutuan ini meskipun layak dan amat memerlukan, sebaliknya dana tersebut dengan mudah dikeluarkan dan dipinjamkan untuk tujuan membayar kos guaman pihak tertentu.

“Apakah Datuk Jamil Khir tidak terfikir kemungkinan pinjaman dana tersebut boleh menafikan mereka yang layak mendapat zakat daripada
menerimanya, ataupun zakat kepada pihak yang layak menerimanya tertangguh disebabkan oleh penggunaan duit tersebut untuk tujuan yang lain,” soal beliau.

Sehubungan itu, Mohd Suhaimu berkata pihaknya mengingatkan Jamil Khir dan MAIWP supaya menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan jangan pula amanah tersebut diselewengkan bagi tujuan peribadi kerana menjaga dana zakat adalah suatu kewajipan manakala menyelewengkannya pula merupakan suatu dosa yang amat besar di sisi Allah SWT.

“Bagi DPPWP ini merupakan suatu dakwaan yang serius kerana melibatkan integriti dan kepercayaan pihak yang berkepentingan menjaga dana zakat umat Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya.

1 ulasan:

CeritaSebenar berkata...

Semua pakai copy paste je story asal. Ni nak habaq bagitau. Dalam setiap agensi kerajaan, ada peruntukan yang memang di khususkan untuk jika timbul keperluan mengendalikan kes kes mahkamah.

Peruntukan ini la yang MAIWP guna untuk bayar kos guaman tu, bukannya guna duit zakat. Takkan la menteri agama gamak nak pakai duit zakat aduhaiiiiii