Jumaat, 30 Disember 2011

Pakatan lebih pandai perintah dari BN

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, meminta pengundi-pengundi di Pahang tidak terpengaruh dengan dakyah kononnya hanya BN yang pandai memerintah sebaliknya membuka mata melihat kejayaan ditunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, sebagai bukti boleh dilihat negeri Kelantan pimpinan PAS yang seolah-olah dianaktirikan, tetapi berjaya membangun setanding dengan negeri-negeri lain.

“Jika di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN dulu Kelantan duduk di ranking nombor dua paling miskin, di bawah PAS kini telah naik ke tangga ke enam dan kadar kemiskinan hanya 4.1%.

“Bukan setakat itu, negeri pimpinan Tok Guru berjaya melunaskan hutang kerajaan Pusat setakat 2010 saja RM220 juta sedangkan hutang yang ditinggalkan Umno dulu ialah RM718 juta.

“Ini boleh dibandingkan dengan hutang kerajaan BN Pahang yang sudah menjangkau RM2.3 bilion, dan kita yakin akan terus bertambah,” ujarnya.

Beliau berucap demikian ketika membentangkan kertas kerja kepada jentera penerangan parti segenap peringkat di Darul Amin Sungai Gau di sini, kelmarin.

Idris berkata, Kelantan yang ditohmahkan sebagai mundur oleh Umno, mampu memberi pinjaman kepada kakitangan kerajaan tanpa riba.

“Di Kelantan ada projek ladang rakyat dengan sahamnya diagihkan kepada penduduk miskin yang mendapat dividen bulanan tanpa mengira kaum, agama dan parti . Warga emas pula diberikan Takaful Kifalah yang apabila meninggal waris dapat wang RM2,500.

“Di Kedah, tengok hasil balaknya meningkat sehingga 205% seperti diakui Ketua Audit Negara. Kedah juga mencipta sejarah melepasi defisit RM19 juta dan cukai tanah diturunkan demi untuk rakyat.

“Cuba bandingkan dengan Pahang yang mewah dengan balak tetapi pendapatan untuk negeri begitu kecil sehingga kerajaan negeri terpaksa meminjam daripada Pusat untuk menampung perbelanjaan dan pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Idris membanding dengan Selangor yang mampu memberikan bekalan air paip percuma kepada rakyatnya sedangkan Pahang yang kaya dengan sumber rair sungai ini tidak beri percuma.

Tambahnya, beliau diberitahu, di Pahang bukan saja bil air mahal malah bekalan pula kerap terganggu.

“Di bawah kerajaan Pakatan di Selangor sekarang gaji guru Kafa dinaikkan kepada RM1,300 hingga RM1,500. Di Pahang berapa? Ditubuhkan pula Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang menyediakan tabung permulaan RM100 bagi setiap bayi kelahiran Selangor. Sebanyak RM1,500 boleh dikeluarkan selepas umur 18 tahun.

“Tengok Pulau Pinang pula walaupun diterajui Ketua Menteri dari DAP tetapi Sekolah agama Rakyat dibantu dan peruntukan kepada Jabatan Agama Islam ditambah sehingga RM25 juta setahun.

“Wakil rakyatnya tidak dibenarkan memohon tanah. Setiap bayi lahir diberikan wang antara RM100 ke RM200 manakala warga emas yang berumur 60 tahun ke atas mendapat RM1 ribu,” tambahnya.

Ustaz Idris menjelaskan, rakyat sepatutnya bijak menilai sesebuah kerajaan yang baik dan tidak seharusnya terpedaya dengan propaganda media Umno sahaja.

Tiada ulasan: