Jumaat, 23 Disember 2011

Nurul Izzah: Sikap Pilih Kasih DBKL Dikesali

Oleh Afeeqa Afeera



PETALING JAYA : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa bersikap adil terhadap penjaja di Taman Sri Sentosa dengan mengemukakan senarai penjaja yang layak menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Penyenaraian ini bertujuan menyelesaikan kemelut yang dihadapi peniaga terbabit sejak tahun 2006.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung sikap pilih kasih DBKL yang didakwa memberi lesen serta tapak perniagaan kepada penjaja yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka serta Umno.

Menurut Izzah, sikap dwi standard yang diamalkan DBKL ini, benar-benar menunjukkan ketidaktelusan mereka dalam menjalankan tugas.

"Yang kita bangkitkan adalah apabila DBKL memilih bulu di mana sesetengah tempat perniagaan disaman, manakala selebihnya dibiarkan begitu sahaja. Jadi, saya didatangi penduduk dan peniaga untuk menyelesaikan perkara ini.

"Sebagai Ahli Parlimen saya menggesa DBKL supaya menyenaraikan penjaja yang layak mendapat lesen, bukannya syarat mereka(penjaja) adalah ahli mana-mana parti," katanya demikian dalam satu sidang media berhubung nasib sebahagian penjaja yang dianak tirikan pihak DBKL.

Tambahnya, sikap berat sebelah pihak DBKL juga semakin ketara apabila seorang penjaja warganegara Malaysia yang telah lama menjalankan perniagaan di kawasan itu dikenakan saman dan dirampas alatan perniagaan, sebaliknya peniaga lain yang mengupah pekerja warga asing tanpa permit tidak dikenakan sebarang tindakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan khususnya kepada bahagian penguatkuasaan untuk memastikan pihak DBKL menjalankan tugasan dengan konsisten.

Nurul Izzah juga memohon penjaja yang menjalankan perniagaan di bahu jalan mahupun laluan pejalan kaki segera diberikan lesen perniagaan serta segera dipindahkan ke tapak baru bersebelahan pondok polis Sri Sentosa yang ternyata lebih selesa dan tidak menghalang lalu lintas.

"Saya rasa perkara ini adalah masalah besar yang akan mengganggu-gugat perniagaan penjaja di kawasan ini untuk mencari rezeki. Saya memohon DBKL supaya bersikap adil terhadap semua pihak dan tidak begitu mengecewakan penjaja di kawasan ini," tegasnya.

Tiada ulasan: