Sabtu, 3 Disember 2011

MPEM tolak campur tangan Umno dalam GLC

Presidennya Tan Sri Rozali Ismail berkata beliau bimbang jika peneraju itu tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam syarikat kerana terlalu aktif berpolitik.



KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MPEM) hari ini menolak cadangan supaya jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diberikan kepada orang Umno.

Presiden MPEM Tan Sri Rozali Ismail berkata beliau bimbang jika peneraju itu tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam syarikat kerana terlalu aktif berpolitik.

“Dalam syarikat mesti ada 100 peratus perhatian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rozali yang juga pengerusi eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata pihaknya masih berpegang dengan penetapan syarat kelayakan untuk menjadi peneraju GLC dan GLIC selain pengetahuan dan pengalaman.

Rozali berkata, apa yang penting peneraju sedia ada hanya perlu “ditiupkan roh kesedaran” untuk mempertingkatkan ekonomi Melayu.

Namun beliau tetap tidak menafikan kepentingan penglibatan golongan bumiputera dalam memainkan peranan membantu ekonomi orang Melayu.

Umno bantu Melayu

“Kita tidak boleh melupakan tanggungjawab membantu Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan,” katanya.

Ketika perbahasan usul ekonomi dalam perhimpunan agung Umno semalam, beberapa wakil negeri menuntut supaya GLC diterajui orang Umno.

Sementara itu, wakil Umno Pahang Datuk Rosni Zahari semalam dalam hujahnya berkata ahli Umno lebih memahami apa yang diperjuangkan oleh parti selain mempunyai semangat untuk memantapkan ekonomi Melayu.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana bumiputera, satu kelompok kaum terbesar di negara ini namun gagal menguasai ekonomi sedangkan pelbagai pelan diwujudkan untuk membela nasib mereka.

Rosni juga berharap satu pelan transformasi yang lebih efektif mampu menangani kemelut ekonomi masyarakat berpendapatan rendah khususnya Melayu dapat dibentangkan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Tiada ulasan: