Ahad, 18 Disember 2011

Lebih Senang dan Murah Untuk Berniaga Di Bawah Pakatan Rakyat

Oleh Sheridan Mahavera


SHAH ALAM : Kajian seorang Pakar politik-ekonomi Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez mendapati rata-rata usahawan Melayu di Selangor mengatakan lebih senang menjalankan perniagaan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding di era Barisan Nasional.

Laporan itu menyebut, usahawan mengatakan kos operasi perniagaan dibawah Pakatan lebih rendah kerana tidak perlu membayar "komisyen" kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan lesen atau mendapat konsensi projek.

Amalan sedemikian lazimnya berleluasa semasa pentadbiran BN.

Jelas Edmund lagi, situasi ini mencerminkan realiti persekitaran perniagaan negara di mana usahawan Melayu yang tulen dan berdaya-saing sering diketepikan oleh dasar dan pentadbiran BN.

Hanya usahawan yang mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin Umno mendapat faedah daripada dasar-dasar kerajaan.

"Akibatnya, golongan usahawan Melayu yang tulen terpaksa bersaing bukan sahaja dengan usahawan dari komuniti lain, tetapi dengan golongan usahawan yang ada kaitan dengan Umno.

"Jadi di sini kita nampak PKR (Parti Keadilan Rakyat) mendapat sokongan daripada golongan ini kerana mereka disisihkan daripada mendapat akses kepada dasar, konsensi dan projek kerajaan," kata Edmund.

Beliau berkata demikian di dalam satu sessi forum ekonomi bertajuk "Malaysia's Economy : Are We Heading in the Right Direction?" (Ekonomi Malaysia : Adakah Kita Berada di Halatuju Sebenar?) di sini, baru-baru ini.

Turut hadir majlis tersebut pengarah eksekutif kumpulan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) Teh Chi-Chang dan pakar ekonomi Dr Cheong Kee Cheok dari UM.

Exco Selangor Teresa Kok bertindak selaku moderator.

Edmund menerangkan, walaupun Dasar Ekonomi mempunyai matlamat yang murni, iaitu untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan antara komuniti di Malaysia, ia tidak menepati sasaran.

"Semasa pemerintahannya, (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir telah membelanjakan berjuta-berjuta ringgit untuk membentuk kelas kapitalis Melayu.

"Namun pada hari ini, tiada satu pun perniagaan Melayu yang tersenarai sebagai 10 perniagaan terbesar di Malaysia," katanya.

Persoalan sebenarnya sekarang, Edmund berkata, adalah bukan tentang jurang pendapatan antara komuniti. Ia adalah tentang jurang pendapatan dalam sesuatu komuniti itu sendiri.

"Kita tengok, walaupun dibawah Dasar ekonomi Baru(DEB), negeri-negeri yang masih mencatat kadar kemiskinan yang tinggi, seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah adalah negeri yang majoriti penduduknya Melayu," jelasnya.

Tiada ulasan: