Isnin, 5 Disember 2011

Lebih baik diperkuda dari diperlembukan, Pakatan jawab Umno


SHAH ALAM — Selepas berhadapan dengan serangan bertubi-tubi Umno ketika perhimpunan mereka hujung minggu lalu, Pakatan Rakyat pula menggunakan platform rapat umum malam tadi untuk melawan pesaing politiknya dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah gagal memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.

Malah, dengan menggunakan sepenuhnya dakwaan salah guna dana dan penyelewengan dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kemerosotan indeks persepsi rasuah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyerang balik Umno yang hujung minggu lalu melemparkan siri tuduhan, dakwaan dan tanggapan negatif mengenai mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, tanpa ragu-ragu Umno telah bertindak secara tidak bermoral dengan menyalahgunakan dana yang dikhususkan bagi projek NFC dan kemudian mempertahankan Ketua Wanitanya Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Projek NFC diuruskan oleh keluarganya Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Isu berkenaan dengan masalah dalam NFC pertama kali terdedah menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Kemudian, kepimpinan PKR mendakwa suami Shahrizat, Datuk Mohamed Salleh Ismail telah menggunakan berjuta-juta ringgit dari dana NFC dalam urusan dalam termasuk pembelian dua unit kondominium mewah bernilai RM13.8 juta dan perbelanjaan peribadi.

“Hanya mereka yang tidak bermoral boleh melemparkan kata-kata penghinaan (ke atas Pakatan Rakyat), boleh mencuri RM250 juta, dan kemudian mempertahankan diri mereka.

“Kesalahan pertama adalah salah guna dana dan kedua ialah mempertahankan tindakan mereka,” kata Anwar di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKr Azmin Ali.

Turut hadir Sasterawan Negara Datuk Samad Said, yang muncul ikon baru dalam arena sosiopolitik negara ketika perhimpunan Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, Julai lalu.

Hadi juga menyentuh skandal NFC dengan menafikan segala tuduhan dilemparkan oleh Umno ketika perhimpunan agung tahunannya.

Sepanjang hujung minggu lalu, Umno mendakwa PAS dipergunakan oleh DAP manakala MCA pula mengatakan bahawa DAP berada dalam telunjuk PAS.

“PAS diperkudakan oleh DAP. DAP diperkudakan oleh PAS... Umno diperlembukan,” katanya.

“Lebih baik diperkuda daripada diperlembukan kerana kuda untuk perjuangan, lembu untuk disembelih,” kata beliau.

Tiada ulasan: