Rabu, 7 Disember 2011

KPDNKK Terengganu jangan bersikap lepas tangan


Kenyataan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Mohamad di dalam sebuag akhbar harian (6 Disember 2011) bahawa bekalan minyak masak di Terengganu adalah mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di negeri ini serta tiada masalah dengan bekalan minyak masak, dan stok yang sedia ada dijamin cukup, disifatkan oleh Lujnah Pengguna PAS Terengganu sebagai cuba lari dari isu dan permasalahan sebenar.

Turut dipaparkan gambar di media tersebut, foto beliau memegang botol minyak masak cap bunga matahari bersama para pegawai KPDNKK Terengganu berlatar belakangkan rak yang juga dipenuhi minyak masak cap bunga matahari dan minyak jagung di sebuah pasaraya di Bandaraya Kuala Terengganu.

Pengarah KPDNKK Terengganu perlu memahami keluhan sebenar rakyat yang keputusan bekalan minyak masak sawit, minyak masak yang menjadi kegunaan rutin rakyat kebanyakkan, malah fenomena kekurangan atau boleh diistilahkan ketiadaan langsung bekalan ini telah menjadi makluman masyarakat umum, bukan lagi suatu yang perlu dinafikan sekadar untuk melepaskan tangan.

Minyak masak bunga matahari atau minyak jagung bukanlah pilihan pengguna lantaran harganya yang berlipat ganda. Difahamkan 3 kg minyak bunga matahari bernilai RM27 berbanding 5 kg minyak sawit jenama Saji berharga RM13. Tambahan pula negara kita adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

Sikap pegawai mudah lepas tangan dan mengeluarkan kenyataan tanpa penelitian seperti inilah menyebabkan masalah sama berpanjangan dan sering berulang. Bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan bahawa minyak masak mencukupi dan pengguna boleh membelinya tanpa had kalau rakyat yang ke kedai runcit atau ke pasaraya gagal untuk mendapatkan bekalan?

Lujnah Pengguna PAS Terengganu mengulangi gesaan supaya KPDNKK meneliti tiga permasalahan pokok yang menjadi sungutan pengguna dan dikhuatiri malah diyakini menjadi punca ketiadaan bekalan tanpa perlu beliau membuang masa menafikan hal yang sememangnya wujud.

Yang pertama, tindakan pemborong dan pembekal yang menyorokkan bekalan setiap kali ada ura-ura harganya akan dinaikkan.

Yang kedua, permasalahan berkenaan kuota bekalan yang menjadi sungutan peniaga yang didakwa telah berusia hampir empat tahun dan tidak lagi relevan dengan pertambahan jumlah kedai runcit, pasaraya dan jumlah pengguna.

Yang ketiga, Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar
PAS Terengganu

Tiada ulasan: