Ahad, 25 Disember 2011

JPN perjelas SOP permohonan kad pengenalan anak Mufti Perlis


KUALA LUMPUR — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menjelaskan jabatan berkenaan hanya memerlukan ibu bapa mengemukakan salinan sijil nikah atau kahwin sekali sahaja untuk permohonan kali pertama bagi tujuan pengesahan status.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said, dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan berkenaan, prosedur terbabit adalah untuk permohonan kali pertama bagi tujuan pengesahan status sebelum kad pengenalan dikeluarkan.

“Prosedur yang berkuatkuasa pada 11 Jun 2009 ini adalah bagi Tatacara Pengendalian Permohonan Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun yang mempunyai masalah taraf Kewarganegaraan bagi perkahwinan di antara lelaki bertaraf warganegara Malaysia dengan wanita bertaraf warganegara asing.

“Prosedur ini menuntut ibu bapa mengemukakan sekali sahaja sijil nikah dan sijil kahwin mereka, ia bertujuan untuk pengesahan status sebelum kad pengenalan dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

“Berdasarkan prosedur berkenaan, ketetapan dan keperluan bagi kes-kes sedemikian adalah perlu bagi tujuan penentuan dan pengesahan taraf kewarganegaraan anak,” tambahnya lagi.

Jelas Jariah, berdasarkan kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam yang dilaporkan sebelum ini, isu yang timbul berhubung kait dengan kecuaian kakitangan kaunter untuk merujuk kepada pegawai atasan bagi kes yang meragukan.

Bagaimanapun jelasnya, dalam kes anak Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, pihaknya mengesahkan kad pengenalan anak kedua beliau sudah siap dan boleh dikutip di pejabat JPN.

“Kad pengenalan Sumaiyah Syahidah, anak kedua Dr Juanda Jaya telah pun siap untuk serahan dan sedia untuk kutipan di Pejabat JPN Kuching pada hari bekerja,” jelasnya.

“Pengurusan JPN telah mengenal pasti masalah yang berbangkit dan segala usaha memperbaiki kelemahan telah diambil supaya semua pegawai bertugas di bahagian kaunter dapat melaksanakan tugas secara profesional dan sentiasa bersikap membantu pelanggan berurusan dengan JPN.

“Sehubungan dengan itu, JPN memohon maaf di atas segala masalah dan kesulitan yang dihadapi beliau ketika berurusan di kaunter JPN Kuching, Sarawak ekoran daripada kelemahan kakitangan kaunter dalam menerangkan prosedur jabatan,” jelas Jariah lagi.

Menurutnya lagi, JPN juga tidak sesekali bermaksud untuk menafikan hak serta status kewarganegaraan anak beliau sebagai warganegara Malaysia.

Tiada ulasan: