Ahad, 4 Disember 2011

Jasad Pelajar M'sia Yang Mati Di Jawa Timur Akan Tiba Esok Malam

MSTAR ONLINE

JAKARTA: Jasad Theven Adrian Joseph, pelajar Malaysia dari universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur yang meninggal dunia kerana komplikasi kesihatan, akan diterbangkan pulang ke tanah air esok malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya.

Atase Pendidikan Education Malaysia (EM) di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, jasad pelajar itu akan dihantar pulang dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH872 yang dijadual berlepas pada pukul 6.55 petang dan ia dijangka tiba di KLIA pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata, mayat Theven Adrian diserahkan kepada pihak keluarganya di Graha Medika, Universiti Brawijaya petang ini.

"Pihak keluarga menolak untuk dilakukan bedah siasat dan pihak hospital hanya menyatakan kematian beliau sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Theven Adrian meninggal dunia pada kira-kira jam 8 malam semalam (Jumaat) di Hospital Islam Dinoyo, Malang ketika sedang menerima rawatan di situ.

Sebelum itu pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami kekejangan dan serangan sawan, dikejarkan ke hospital dan diberi bantuan CPR serta bantuan penafasan melalui mesin tetapi beliau tidak dapat diselamatkan.

Theven Adrian, 20, penuntut tahun satu Fakulti Perubatan Universiti Brawijaya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, merupakan pelajar Malaysia yang kedua dari universiti itu yang meninggal dunia dalam masa tidak sampai satu bulan. Pada 7 November lalu, seorang lagi pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira, juga penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang maut selepas ditetak dengan senjata tajam dilehernya oleh seorang penyerang ketika Adrian cuba menghalang lelaki itu daripada mencuri motosikalnya di bandar Malang.

Pihak polis masih menyiasat kes pembunuhan itu.

Seramai 161 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Brawijaya, daripada sejumlah 173 pelajar Malaysia yang belajar di institusi pengajian tinggi di Malang. -BERNAMA

Tiada ulasan: