Khamis, 8 Disember 2011

Jabatan Kimia sedia uji status halal dakwat kekal


Salhan K Ahmad

Ketua pengarah Jabatan Kimia, Ahmad Ridzuan Ibrahim berkata jabatan itu bersedia untuk menguji sama ada sampel dakwat kekal yang bakal digunakan dalam pilihan raya umum akan datang mempunyai bahan yang melanggar syarak.

Bagaimanapun, jabatan berkenaan masih belum menerima arahan rasmi untuk menjalankan tugas berkenaan, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Belum ada arahan rasmi, tapi kalau diperlukan kita akan buat mengikut apa yang diminta. Kita ada keupayaan untuk jalankan kerja tersebut," katanya.

Sepanjang pengetahuannya, jabatan itu setakat ini hanya akan ditugaskan untuk menguji sama ada sampel berkenaan akan kekal seperti didakwa pembekal, kata Ahmad Ridzuan lagi.

"Tugas kita lebih ke arah mengesahkan dakwat itu boleh tahan mengikut apa yang dinyatakan oleh pembekal, katakan kalau (pembekal kata) kekal dua hari, ia benar-benar akan kekal dua hari," katanya lagi.

Beliau menjangkakan Jabatan Kimia akan menerima sampel berkenaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa suruhanjaya itu akan menyerahkan sampel dakwat berkenaan untuk ujian Jabatan Kimia bagi mengenalpasti sama ada ianya mengandungi bahan terlarang.

Keputusan daripada ujian berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan juga Majlis Fatwa untuk mendapatkan pandangan, kata Wan Ahmad seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Hasil daripada proses berkenaan akan dilaporkan kepada jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya (PSC), kata Wan Ahmad lagi dalam laporan tersebut.

Majlis Fatwa dalam persidangan jawatankuasa khasnya pada Ogos 2007 telah memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal adalah dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan oleh syarak.

Keputusan itu juga menyebut, bahan dalam dakwat berkenaan tidak menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam kerana tidak menghalang air daripada sampai ke kulit.

Menurut hujah yang dikemukakan bersama fatwa tersebut, ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan bahawa dakwat yang mengandungi alkohol etanol itu juga tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadat orang Islam.

"Penggunaan alkohol dalam dakwat kekal bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

"Memandangkan dakwat kekal ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak," fatwa itu dipetik.

Tiada ulasan: