Ahad, 25 Disember 2011

Identiti 'Datuk' NFC Cuba Sogok Polis Diketahui

ANTARA POS.COM

Post Pic



KUALA LUMPUR : Seorang individu bergelar 'Datuk' yang ditahan polis bersabit siasatan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), dipercayai memiliki beberapa syarikat.

Usahawan bersia 45 tahun itu difahamkan memiliki satu syarikat pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.

Beliau juga dikatakan turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.

Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: