Khamis, 8 Disember 2011

ADUN Pakatan demo bantah lawatan sambil belajar

Elissa Helmy

Kira-kira 15 anggota Pakatan Rakyat Melaka, termasuk beberapa wakil rakyat DAP, mengadakan demontrasi secara aman di hadapan Bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh yang menempatkan Pejabat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini.

Mereka membantah tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu yang menghantar beberapa ahli majlis masing-masing ke luar negara, kononnya atas urusan lawatan sambil belajar.

NONEKetua Pembangkang Melaka yang juga ADUN Kesidang, Goh Leong San berkata, bantahan itu diadakan kerana tidak mahu PBT terbabit menggunakan wang rakyat, terutama dari hasil cukai digunakan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk melancong.

"Hari ini kita buat bantahan terhadap rombongan sambil belajar itu dan ini adalah perkataan yang sering digunakan oleh PBT di Melaka setiap kali membuat lawatan ke luar negara.

"MBMB membawa beberapa ahli majlisnya ke Perth, Australia manakala Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ke China," katanya.

Menurut Goh, perkara itu juga sudah sering kali dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

"Dulu mereka kata nak buat lawatan sambil belajar untuk menyelesaikan masalah banjir tetapi malangnya masalah itu tidak selesai-selesai sehingga kini.

"Tapi perkataan sambil belajar masih lagi digunakan, kita tidak tahu apa yang mereka belajar di luar negara.

"Saya dengar kata, mereka membawa keluarga sekali, jadi saya hendak tahu bagaimana perbelanjaan mereka di sana adakah mereka gunakan wang pembayar cukai. Kita nak tahu bagaimana mereka menguruskan perbelanjaan itu.

"Kita kesal sedangkan dalam masa sama kerajaan negeri sudah menaikkan harga lesen perniagaan dan sepatutnya mereka gunakan wang lebihan cukai ini untuk kebaikan dan kemudahan rakyat bukan gunakannya untuk tujuan persendirian dengan sesuka-hati.

"Justeru, kita mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terhadap pengurusan kewangan ini," katanya.

Selain Goh, turut menyertai demonstrasi itu ialah ADUN Bachang, Lim Jak Wong, ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.

Manakala PAS disertai Yang Dipertua PAS Kota Melaka, Harun Mohamed dan Ketua Penerangan PAS bahagian Bukit Katil, Yusof Wahab.

Demonstrasi tersebut yang diadakan selama lima minit hampir mencetuskan ketegangan apabila segelintir yang dikatakan penyokong BN, didakwa cuba melakukan provokasi.

Namun kebijaksanaan polis berjaya mententeramkan keadaan dan perhimpunan kemudiannya bersurai.

Tiada ulasan: