Selasa, 15 Mac 2011

Tunang Teoh setuju ditemu bual pakar psikiatri forensic

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Soh Cher Wei, tunang mendiang Teoh Beng Hock, telah bersetuju untuk ditemu bual oleh pakar psikiatri forensik di Melaka, demikian menurut Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian bekas pembantu seorang anggota exco kerajaan Selangor itu.

Setiausaha suruhanjaya Datuk Saripuddin Kasim berkata Soh telah mengemukakan beberapa syarat kepada suruhanjaya sebelum ditemu bual, antaranya keseluruhan temu bual tersebut mesti dirakamkan dengan menggunakan kamera video dan peguam beliau harus hadir bersama sepanjang sesi temu bual tersebut.

Beliau berakta dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa suruhanjaya turut menghubungi abang kepada Teoh, Teoh Meng Kee, semalam dan beliau telah memaklumkan bahawa segala perbincangan berhubung perkara itu perlu dibuat melalui peguam yang mewakili keluarga mereka, Gobind Singh Deo.

Sebelum ini Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen meminta tiga pakar psikiatri iaitu perunding forensic psikiatri Hospital Permai Johor Dr Bada’’iah Yahya, pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali dan Pengarah Hospital Permai Johor Dr Benjamin Chan, menemu bual Soh dan rakan media kerana Teoh sebelum ini bekerja sebagai setiausaha akhbar.

Ketiga-tiga pakar psikiatri itu diperlukan untuk membantu suruhanjaya bagi mengenal pasti sifat dan sikap Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Tiada ulasan: