Khamis, 17 Mac 2011

Terima aduan pegawai SPRM guna kekerasaan ketika soal siasat saksi: Foong

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memberitahu terdapat beberapa aduan kekerasan yang digunakan oleh dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap saksi.

Pengerusi Suruhanjaya yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang membaca dua SMS dari telefon bimbit miliknya berkata aduan itu adalah dari orang awam yang menyatakan mendapat kecederaan sehingga menimbulkan kesan yang ketara.

Foong berkata dua pegawai yang terlibat adalah pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM di Selangor Hairul Ilham Hamzah dan Penolong Penguasa SPRM Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Dalam SMS itu menyatakan: “Pada 24 Jun 2009, seorang lelaki telah ditahan oleh pegawai SPRM iaitu Hairul Ilham dan Mohd Ashraf, kad pengenalannya telah disimpan sehingga 1 Julai 2009, kecederaan telah berlaku dan meninggalkan kesan lebam yang ketara, namun kes itu tertunda.”

Dalam satu lagi SMS yang diterima menyatakan: “Pada 2 Julai 2009, seorang lelaki ditahan di mana kad pengenalannya turut disimpan sehingga 7 Julai 2009 oleh Mohd Ashraf dan Hairul Ilham dan lelaki tersebut telah membuat laporan polis pada 8 Julai kerana terdapat kecederaan”.

Ketika disoal Foong sama ada Hairul Ilham mengetahui aduan kekerasan yang dikaitkan dengan Mohd Ashraf, Hairul Ilham menjelaskan beliau mengetahui tentang aduan itu namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas Mohd Ashraf.

“Saya tahu ada laporan dan aduan mengenai Mohd Ashraf, namun saya tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan kerana ia dijalankan oleh Bahagian Tatatertib SPRM, Ibu Pejabat putrajaya,” kata Hairul Ilham, yang merupakan saksi ke-22 dalam prosiding hari ini.

Dalam prosiding itu, Foong memberitahu Mohd Ashraf turut digelar sebagai ‘‘Budak Suruhan Hairul’’ kerana sering dikaitkan dengan Hairul Ilham.

Perkara itu turut disokong oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan.

Mohd Ashraf sebelum ini pernah memberi keterangan dan merupakan saksi ke-20 dalam suruhanjaya itu yang menyiasat kematian setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Bagaimanapun, Hairul Ilham berkata aduan itu dibangkitkan selepas kematian Teoh dan sejujurnya beliau tidak mengetahui perkara ini kerana tidak dimaklumkan.

Foong turut memaklumkan suruhanjaya akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan itu sama ada benar atau palsu.

Ketika ditanya pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud sekiranya Teoh meminta untuk pulang awal pada malam siasatan dijalankan, adakah dia akan membenarkan Teoh pulang, Hairul Ilham berkata: “Sekiranya Teoh memaklumkan dia akan berkahwin esok (16 Julai 2009), saya akan lepaskan dia atas budi bicara,” katanya.

Awang Armadajaya: “Ada tak rasa kesal sebab tak lepaskan Teoh atas cadangan Ean?.”

Hairul Ilham: “Ada dan ia sentiasa bermain di fikiran saya.”

Dalam prosiding hari ini, Foong turut memaklumkan kesemua telefon bimbit dan komputer riba milik pegawai SPRM iaitu Hairul Ilham, Mohd Anuar Ismail, Mohd Nazri Ibrahim, Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, Raymond Nion Anak John Timban dan Khairul Anuar Alias dirampas untuk dianalisis oleh Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disertai pegawai penyiasat bebas.

Peguam yang mewakili SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar beberapa saksi SPRM bagi kes yang sama turut dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk Ean dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Hwa.

Peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam, memaklumkan suruhanjaya bahawa Pakar Psikiatri Dr Benjamin Chan tidak dapat menyertai kerana tidak dapat meluangkan masa untuk membantu suruhanjaya itu.

Selain Foong, suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’.

Prosiding bersambung esok.

Tiada ulasan: