Jumaat, 11 Mac 2011

Tapak Lynas: Fuziah Gerak Sokongan MP Green Party

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatannya dari Green Party Australia untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan agar melihat secara mendalam kesan alam sekitar dan kesihatan akibat projek industri pemprosesan tanah jarang bernilai AS$230 juta itu dan mahu jaminan perlindungan sebelum Lynas Corp memulakan operasinya.

Kawasan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia, menurut laporan akhbar Amerika Syarikat The New York Times.

Beberapa pakar yang dipetik dalam laporan itu melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek itu beroperasi lapor The Malaysian Insider.

Ia percubaan kedua Malaysia dalam membangunkan industri pemprosesan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak sekitar 1980-an.

Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata kelulusan diberikan kepada projek Lynas selepas melalui penilaian oleh pelbagai agensi kerajaan.

Menurut beliau, bijih yang diimport dan sisa tanah itu akan mempunyai tahap radiasi yang rendah dan mampu dikendalikan dengan selamat.

Kerajaan Malaysia telah menawarkn pusat Lynas itu taraf perintis selama 12 tahun.

"Ahli-ahli Parlimen Green Party di Australia akan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Australia agar tidak membuang sisa-sisa mereka di Malaysia," kata Fuziah.

Pada masa yang sama, Fuziah berkata beliau sedang melobi pentadbiran Najib supaya mewajibkan Lynas membawa balik sisa-sisa pembuangan ke Australia.

Katanya, salah satu kebimbangan ialah pelan pengurusan sisa-sisa pembuangan Lynas.

Terengganu yang merupakan pilihan pertama Lynas telah menolak cadangan syarikat Australia itu pada 2007 ekoran tekanan daripada pencinta alam sekitar, kata Naib Presiden PKR ini lagi.

"Saya bercadang untuk bercakap (di Parlimen) Isnin ini. Saya satu-satunya Ahli Parlimen membawa isu ini ke Parlimen... ia perjuangan seorang diri," kata beliau sambil mengakui tidak menerima banyak sokongan termasuk daripada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberitahu beliau juga menentang loji Lynas selepas membaca laporan The New York Times semalam, mengembalikan isu bencana alam radioaktif di negeri kelahirannya.

"Kita tidak harus membawa ke negara ini perkara-perkara yang telah ditolak oleh pihak lain," kata Ahli Parlimen Beruas.

Ngeh berkata beliau faham yang dunia memerlukan tanah jarang dan jikapun ia mahu didirikan di Kuantan ia seharusnya berjauhan daripada kawasan kediaman manakala bahan-bahan buangan seharusnya diuruskan dengan sebaik yang mungkin.

Menurut Fuziah, insiden-insiden bahan-bahan toksid memasuki bahagain bawah tanah dan mencemari sumber-sumber air sudah pun dilaporkan.Katanya, persekitaran itu sudah pun memberi kesan ke atas Sungai Balok, yang melalui kawasan perindustrian di utara Kuantan dan mengalir ke Laut China Selatan.

"Tiada prosedur yang jelas bagaimana mereka hendak membawa keluar produk radioaktif," kata Fuziah.

"Juga tiada laporan EIA," katanya lagi. Kuantan juga merupakan pangkalan hasil perikanan di negara ini.

Menurut Fuziah, kedua-dua kerajaan pusat dan negeri telah memandang mudah risiko radioaktif apabila loji ini beroperasi.

"Beliau berkata ia seakan penggunaan buih melawan api (penggunaan pemadam api)," kata Fuziah yang merujuk kepada perbualannya dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai risiko 'lathanide', nama saintifik kepada tanah jarang.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari BN dalam kawasan Parlimen Kuantan juga menyokong pandangan Adnan.

"Malah batu granit mempunyai lebih radiasi berbanding 'lanthanide'.

Malah lebih tinggi," kata Adun Semambu Pang Tsu Ming.

Wakil rakyat dari MCA itu merupakan salah seorang daripada dua Adun dari Pahang dijemput untuk melawat kawasan perlombongan Lynas di sebelah barat Australia, kira-kira 800 kilometer dari Perth, dua tahun lalu.Rakannya, Chang Hong Seong berkata pada awalnya beliau juga risau mengenai sisa-sisa pembuangan daripada proses itu.

Tiada ulasan: