Oleh: MUTALIB M.D WALAUPUN hampir seluruh negara di dunia sudah mengharamkan plumbum melalui Basel Convention, namun Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin masih berada di dalam ‘minda kelas tadika’ kerana tidak menyedari bahaya plumbum dan cara plumbum tersebar di udara, terutama dalam bilik darjah yang dijadikan tempat mengecas bateri. Menurut Presiden Penaja Banggi Green (NGO Alam Sekitar), Muslimin Arip, Rosnah sewajarnya turun padang melihat tahap bahaya kanak-kanak yang terdedah terus kepada plumbum yang dicaj dalam bilik darjah mereka disebabkan kecuaian semua pihak. “Saya tidak tahu mau cakap apa lagi jika satu dunia bercakap tentang bahaya plumbum, tetapi Timbalan Menteri Kesihatan kita pula kata tidak bahaya. Apakah ini pandangan rasmi kerajaan?” tanya Muslimin yang merujuk kepada jawapan Rosnah kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi. Muslimin mendesak agar Rosnah turun padang melawat kanak-kanak sekolah di Sekolah Padang Banggi di Kampung Maliyu Kudat dan menjalankan ujian darah bagi mengenalpasti tahap keracunan plumbum dan mengambil langkah perlu sebelum menjadi separah Nigeria atau China. “Jawapan yang diberikan Rosnah di parlimen menghina Kerajaan Malaysia yang telah menandatangani Basel Convention kerana menurut persetujuan yang dimateri, jangankan mahu mengimport atau mengeksport, malah membenarkan transit bahan plumbum tanpa lesen adalah dilarang,” ujar Muslimin yang meminta agar Rosnah lebih berhati-hati memberikan jawapan di masa akan datang. Sikap Rosnah menjawab sambil lewa, sinonim dengan tanggapan Ahli Parlimen Nigeria apabila menganggap plumbum tidak berbahaya sehinggalah 400 kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan plumbum, barulah mereka menyesal dan bertindak. Sehubungan itu, Muslimin menggesa agar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar bekerjasama menjalankan kajian kerana kajian Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah pada 1996 menunjukkan kadar keracunan plumbum dalam darah kanak-kanak tadika di Pantai Barat Sabah begitu tinggi. Berikut cabutan daripada Hansard Parlimen, 16 Mac 2011. Datuk Raime bin Unggi [Tenom] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah kajian atau tindakan pihak Kerajaan untuk mengenal pasti terhadap tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak atau murid-murid sekolah di sekolah-sekolah yang dibekalkan dengan sistem solar hybrid yang menggunakan bateri plumbum khususnya di negeri Sabah. Timbalan Menteri Kesihatan [Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Tenom. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar telah menyediakan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik 24 jam di kawasan luar bandar dan juga kawasan pedalaman. Kementerian Pelajaran telah memperluaskan sistem solar hybrid dengan objektif untuk membekal tenaga elektrik yang lebih berkesan, reliable dengan izin, dan mesra alam di samping mengurangkan kos operasi, serta membolehkan pelaksanaan program berasakan ICT berjalan dengan lebih sempurna. Sistem solar hybrid meliputi beberapa komponen utama seperti sistem solar photovoltaic (PV), sistem inverter, sistem bateri dan juga sistem diesel generator yang berfungsi untuk membekalkan keperluan tenaga elektrik kepada pengguna di sekolah tersebut. Sistem bateri yang digunakan adalah jenis lead-acid yang menjadi pilihan yang disebabkan beberapa factor seperti ekonomi, mudah diperoleh kerana teknologi ini telah berada lama di pasaran dan meluas penggunaannya terutama di dalam bateri kenderaan. Di samping itu, bateri lead-acid boleh diperoleh dengan kapasiti yang besar. Tuan Yang di-Pertua, plumbum yang digunakan dalam bateri plumbum berada dalam bekas yang tertutup dan tidak terdedah secara langsung kepada orang ramai. Oleh itu, tiada risiko keracunan plumbum daripada penggunaan bateri plumbum kepada orang awam, termasuk murid-murid sekolah di sekolah-sekolah yang dibekalkan dengan sistem solar hybrid yang menggunakan bateri plumbum. Bagi mengelakkan risiko pencemaran, bateri plumbum yang telah tamat tempoh hendaklah dilupuskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005. Adalah menjadi tanggungjawab pihak pengguna termasuklah pihak sekolah bagi memastikan peraturan kualiti alam sekeliling berkenaan dipatuhi. Tuan Yang di-Pertua, walaupun risiko keracunan plumbum di kalangan murid sekolah di Sabah adalah rendah, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau keadaan melalui Program Kesihatan Sekolah di mana gejala keracunan plumbum di kalangan murid sekolah boleh dikesan. Sehingga kini belum ada laporan diterima daripada perkhidmatan kesihatan sekolah mengenai keracunan plumbum di kalangan murid-murid sekolah. Sebagai langkah tambahan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan melaksanakan dan menjalankan pemeriksaan khusus bagi gejala keracunan plumbum di sekolah-sekolah yang menggunakan bateri plumbum. Di samping itu, promosi kesihatan kepada pelajar berkenaan mengenai kebersihan diri seperti amalan membersihkan tangan akan dipertingkatkan. Langkah mudah seperti ini telah terbukti boleh mengurangkan risiko keracunan plumbum. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Datuk Raime bin Unggi [Tenom]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Terima kasih Timbalan Menteri di atas jawapan tadi. Saya ingin merujuk kepada kes yang baru terjadi di sekolah SK Semambu yang mana berlaku kebocoran, kebakaran yang saya khuatir di mana para pelajar ataupun penduduk kampong terlibat akan terkena plumbum ini. Jadi saya ingin membuat soalan tambahan di sini, apakah langkah kementerian sekiranya berlaku kebocoran seperti yang saya nyatakan tadi, dan juga tindakan pemantauan yang dijalankan oleh pihak kementerian terhadap tapak-tapak pelupusan bateri. Di Sabah memang tidak ada, saya memang tidak tahu di sini tetapi saya dengar ada dan saya ingin tahu apakah tindakan pihak kementerian untuk menangani perkara ini. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin: Terima kasih Yang Berhormat Tenom di atas soalan tambahan. Tuan Yang di-Pertua, pihak yang bertanggungjawab di dalam kejadian kebocoran ataupun dengan izin, leakage of plumbum adalah Jabatan Alam Sekitar. Sekiranya Kementerian Kesihatan dimaklumkan mengenai insiden kebocoran, kementerian akan melaporkan perkara ini kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan dan di peringkat kementerian sendiri. Langkah-langkah pencegahan akan diambil oleh pihak kementerian terhadap murid-murid ataupun mereka yang terdedah kepada insiden ini. Tuan Yang di-Pertua, pemantauan tapak pelupusan ataupun kawasan industri plumbum dengan izin, adalah di luar bidang kuasa kementerian. Namun begitu apa yang ingin saya maklumkan ianya sebenarnya di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Jabatan Alam Sekitar. Dalam perkara ini sekiranya berlaku leakage tersebut Jabatan Alam Sekitar akan menggunakan Environmental Quality Act 1974 dan Environmental Quality Schedule Waste dengan izin, untuk menangani masalah ini. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tenom telah membangkitkan insiden yang melibatkan Sekolah Semambu, Tenom dan kita telah mendapatkan maklumat tidak ada insiden pendedahan dilaporkan terhadap kanak-kanak sekolah tersebut. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. |
7 ulasan:
pekara ini diatasi dengan segera. sebaiknya kita menggunakan sumber tenaga yang lebih selamat dan tidak berisko.
jika berbahaya, hentikan penggunaan dan gunakan tenega yang lebih bersih dan selamat.
We should learn to make our own conclusion based on logic.
Jika perkara itu telah diharamkan di negara lain, ini bermakna di Malaysia pun perlu mengharamkan penggunaan Plumbum ini. Kerana memberi kesan buruk kepada pengguna dan alam.
sudahkah Timbalan Menteri Kesihatan menjalankan ujian kesihatan terhadap semua pelajar2 di semua sekolah yang dibekalkan bateri plumbum??
Tindakan segera harus dilakukan. Jika tidak keadaan mungkin akan bertambah buruk.
Siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong akan terdedah juga. yang penting sekarang isu dan maslaj ini harus diselesaikan dengan segera.
Catat Ulasan