Selasa, 22 Mac 2011

Risiko radiasi kepada 16,700 penduduk Balok

Tiada satu pun negara didunia berani membina loji tersebut kerana sedar tentang risikonya, tetapi kenapa Malaysia menerimanya?



KUANTAN: Kira-kira 16,700 penduduk Balok yang menetap disekitar Kawasan Perindustrian Gebeng, Pahang kini terdedah kepada ancaman kesan radiasi dengan kewujudan sebuah loji pemprosesan tanah nadir (rare earth).

Disebalik kerakusan mengejar arus kemajuan teknologi, masa depan penduduk yang menetap disekitar dua kilometer dari loji tersebut, antaranya Taman Balok Makmor, Taman Balok Perdana, dan Kampung Nelayan Balok terpaksa menjadi pertaruhan.

Loji tersebut sepenuhnya milik syarikat perlombongan dan memproses kimia dari Australia, Lynas Corporation Ltd.

Bahan mentah (nadir bumi) asalnya diangkut dari lombong milik syarikat itu di Gunung Weld, New South Wales, Australia akan dibawa ke Malaysia untuk diproses menjadi sejenis unsur bijih besi di loji pengeluaran yang dibina di kawasan seluas 101.25 hektar di Gebeng, dekat Kuantan.

Bijih besi yang dihasilkan nanti mempunyai unsur Lathanide lazimnya digunakan dalam pembuatan kenderaan hibrid, lampu kalimantang, cakera liut keras dan panel skrin Ipod.

Walaupun Lathanide berperanan penting dalam pembangunan teknologi hijau, namun apa yang membimbangkan adalah kesan sisa radioaktif yang dihasilkannya selepas diproses.

Ini kerana pemprosesan nadir bumi menghasilkan air buangan sejumlah 500 meter padu (kira-kira saiz tiga kolam renang Olimpik) setiap sejam dalam sehari yang dikhuatiri mendedahkan sisa radioaktif seterusnya mencemari sumber air tempatan termasuk sungai dan laut serta hidupan di dalamnya.

Melalui pemerhatian FMT, saluran air disekitar Kawasan Perindustrian Gebeng mengalir ke Sungai Balok dan Sungai Karang seterusnya menuju ke sekitar Pantai Balok yang menghadap ke Laut China Selatan didapati keruh dan berwarna coklat pekat.

FMT juga berjaya meninjau masuk ke dalam tapak projek pembinaan loji dan mendapati kurang daripada 50 peratus bahagian siap dibina walaupun tarikh yang sepatutnya disiapkan oleh kontraktor tempatan adalah pada Januari 2011.

FMT kemudiannya menuju ke Kampung Nelayan dan sempat menemui penduduk tempatan yang sedang duduk berehat di pangkin sementara menunggu azan Maghrib.

Aktiviti perikanan merosot


Shaari Ayub, 42, seorang nelayan kecil berkata aktiviti perikanan di situ semakin merosot sejak wujudnya kawasan perindustrian sekitar tahun 90-an.

“Sisa kilang semuanya mengalir ke sungai dan dilepaskan ke laut, jadi rezeki yang kami peroleh hanya bergantung kepada nasib.

“Lebih jauh (laut dalam) kami pergi, banyaklah ikan. Kalau dekat pantai sekarang apa pun sudah tiada,” katanya.

Mohd Ramli Aziz, 47, bimbang akan kehilangan punca pendapatan jika benar loji tersebut melepaskan sisa buangan radioaktif.

“Bukan sahaja ikan dan hidupan laut yang akan tercemar, kesihatan penduduk sekitar yang lain pun boleh terjejas,” katanya.

Tidak seperti sisa toksik yang mudah dikesan mempunyai bau, rasa, dan warna, kesan radioaktif dianggap lebih berbahaya kerana ia tidak mempunyai sebarang unsur tersebut.

Pemprosesan Lethanide menghasilkan sisa buangan ‘Thorium’ yang mengandungi bahan radioaktif dan bersifat karsinogen.

Pihak Lynas sebelum ini dalam media pernah memberi jaminan sisa mendakan (bersifat radioaktif) daripada proses rawatan air akan disimpan ditapak simpanan sementara sebelum kajian dilakukan bagi mengenal pasti potensi alternatif kegunaannya.

“Tetapi sampai bila sisa ini akan disimpan? Bagaimana jika tiada penemuan terhasil, apa akan jadi kepada sisa tersebut?

“Apa yang merisaukan unsur bahan buangan radioaktif bukan hanya memakan masa beribu, malah berjuta tahun untuk menjadi neutral.

“Ini bermaksud cucu cicit dan generasi kita seterusnya akan menjadi mangsa. Ini tidak dapat dimaafkan,” kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh semasa pertemuannya dengan penduduk Kuantan.

Hakikatnya, sudah tentu kesan radiasi yang terdedah (melalui air dan udara) akan membawa risiko kepada penduduk setempat kepada kanser seperti leukimia, kelahiran bayi cacat dan pramatang, kecacatan gen dan sebagainya seperti tragedi di Bukit Merah, Perak yang berlaku sekitar tahun 1982.

Kepentingan kepada rakyat Malaysia?


Difahamkan, tekanan Amerika Syarikat dan Eropah yang mahu memecahkan monopoli China dalam industri nadir bumi serta undang-undang alam sekitar di Australia yang tidak membenarkan pembinaan tersebut menjadi faktor Lynas memilih Malaysia.

Lynas dikatakan mendapat ‘lampu hijau’ bagi projek tersebut daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Malaysia hanya dalam masa sehari.

Namun menurut Fauziah, tiada satu pun syarikat milik tempatan yang menjadi rakan kongsi (atas kertas) sekaligus faedah keuntungan dalam projek loji tersebut.

Malah Lynas dianugerahkan Kementerian Pedagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai ‘Status Perintis Berstrategik’, menjadikan Lynas dikecualikan cukai import atau eksport korporat selama 12 tahun.

“Bermakna Lynas akan mendapat USD1.7 bilion (kira-kira RM8 juta) setahun daripada nilai eksport nadir bumi tetapi Malaysia mahupun kerajaan negeri Pahang tidak akan dapat sesen pun keuntungan daripada mereka selama 12 tahun.

“Lebih menghairankan sejak 30 tahun lalu tiada satu pun negara didunia berani membina loji tersebut kerana sedar tentang risikonya, tetapi kenapa Malaysia menerimanya?

“Tiada langsung kepentingannya kepada rakyat, yang ada hanya kesan negatif daripada pelepasan sisa radioaktif,” katanya.

Kempen kesedaran


Sehubungan itu, Fuziah dalam taklimatnya bersama kira-kira 200 penduduk Kuantan Ahad lalu mengadakan kempen kesedaran disamping mengumpul seberapa banyak tandatangan daripada penduduk tempatan untuk dijadikan petisyen bantahan sebelum diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab.

“Selain itu, penduduk Kuantan akan cuba mengumpul seberapa banyak sumbangan dana termasuk menyewa bas supaya mereka dapat pergi ke Parlimen dan menyerahkan petisyen bantahan kepada menteri kabinet sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat penggal ini,” katanya.

Katanya, bantahan itu bagi mendesak Lynas supaya tidak memulakan operasi memproses nadir bumi dan dalam masa yang sama mendesak AELB membatalkan lesen yang diberikan kepada Lynas sebelum ini.

“Kalau kita gagal dalam misi ini, saya akan cuba dengan pelan B iaitu mendesak supaya Lynas membawa sisa buangan pulang ke Australia dengan kapal kargo, jangan cemarkan bumi Malaysia,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, penduduk Bandar Kuantan, Benjamin Yap, 42, berkata persepsinya terhadap pemimpin yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat sudah berubah.

“Saya kesal dengan pemikiran sesetengah pihak yang berfikir bahawa keuntungan poket berbilion ringgit itu lebih bernilai daripada nyawa rakyat sendiri,” katanya kepada FMT.

Christine Soh, 48, penduduk tetap di Kuantan Garden berkata sebagai seorang ejen hartanah, terdapat khabar angin yang mengatakan nilai tanah disekitar kawasan Gebeng menurun disebabkan risiko yang dibawa oleh loji pemprosesan tersebut.

“Harga tanah merosot sejak tahun lalu dan saya bimbang jika nilai pasaran turut menjejaskan kawasan tanah dan di Beserah dan Jabor,” katanya.

Tiada ulasan: