HATI YANG BENGKAK
BUKANNYA ingin menongkah arus dan pembangunan yang telah diberikan. Malah sebagai seorang rakyat yang kerdil tidak lepas dari rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas semua peruntukan pembangunan kepada rakyat Sabah.
Tahniah kepada kerajaan negeri Sabah kerana semakin banyak perubahan yang dapat dilihat, berkembang pesat di sekitar negeri tercinta ini. Namun dalam keadaan mata yang masih tercelik dan akal terbuka, kami sebagai rakyat yang hanya mengharapkan agar undi kami kepada para pemimpin yang sekarang ‘Berkerusi Empuk’ agar tidak lupa betapa kami amat memerlukan anda untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kami.
Sejak sekian lama kami menunggu dan kini PRU13 sudah hampir sampai, namun apa yang dapat kami banggakan untuk anda semua? Adakah dengan pakaian berjenama yang anda pakai? Adakah dengan banyaknya harta, isteri, gundik atau gigolo yang anda kumpul?
Kami hanya rakyat biasa yang mampu melihat dan bersembang di kedai kopi, sedang berteka-teki apakah janji lama akan dicanang kembali pada PRU13 nanti? Di sanalah kami akan dapat melihat betapa RAMAHNYA dan MANISNYA senyuman anda. Rajinnya anda datang bertandang, menyangkul, mencantas lahunai bersama kami.
Tetapi setelah anda berjaya kami jadikan ‘pembela’ kami melalui undi, ‘Batang Hidung’ pun tidak kelihatan; sibuk memanjang entah ke mana?
Sebagai pengundi, pembayar cukai dan yang dijanjikan saban masa, kami rindukan jalan raya yang berturap, bekalan air yang bersih, cahaya lampu elektrik serta paling penting Hak Mutlak rakyat Sabah iaitu ‘20 Perkara’ wajib dipertahankan tanpa gagal.
Bukannya melihat gelapnya rumah kami, rosaknya jalan kami, mundurnya bumiputera, kayanya kroni, ramainya pati dan akhirnya tanah kami yang dirampas.
Di manakah pembelaan kalian wahai pemimpin? Pekak dan bisukah anda di atas ‘KUASA’ yang kami berikan? Tidak malukah anda mengemis undi kami di masa lampau; terutama dengan ‘Rayuan Gula-Gula’?
Kami bukan rakyat derhaka atau pengganas durjana yang perlukan ISA kerana kami bukan pencetus kemusnahan, tetapi sebagai rintihan seorang rakyat yang tetap setia memberi anda UNDI membela kami.
Cuba bandingkan apa yang Sabah terima dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia, bukankah sepatutnya peruntukan untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sama rata? Namun hakikatnya, Sabah hanya mendapat peruntukan yang sama banyak dengan Perlis.
Apakah perlu setiap pemimpin yang kami lantik perlu ‘MATI’ untuk kami melihat betapa mesranya kalian datang bertandang dan menagih undi serta membongkok di hadapan kami?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan