KUANTAN: Usaha Pakatan Rakyat menghalang operasi sebuah kilang dari Australia yang memproses nadir bumi (rare earth) atau logam lathanides yang mana sisanya boleh mengeluarkan radioaktif di kawasan industri Gebeng di sini, mula mendapat sokongan ramai.
Kelmarin, kempen “Halang Lynas! Selamatkan Kuantan” yang diketuai Naib Presiden PKR Fuziah Salleh yang bermula di Pasar Tani Kuantan berjaya mengutip 500 tandatangan orang ramai. (gambar) Fuziah Salleh ketika kempen Halang Lynas! Selamatkan Kuantan di Pasar Tani Kuantan. Sementara dialog pada sebelah petangnya di Kuantan Comfrim Centre dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.
Lynas Corporation Ltd merupakan syarikat milik penuh Australia yang akan beroperasi hujung tahun ini memproses lathanides iaitu bahan yang digunakan sebagai bahan pembuatan mentol lampu jimat tenaga, bateri kering serta pelbagai produk teknologi moden.
Manakala bahan mentah pula akan dibawa masuk dari kuari milik Lynas di Pergunungan Weld, New South Wales sebelum diproses di Gebeng.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, jika kilang tersebut beroperasi, jika berlaku sesuatu kebocoran sisa radioaktif itu bakal membahayakan penduduk serta generasi akan datang. ”Apa yang tidak diketahui kebanyakan orang bahawa elemen-elemen sumber asli itu sebenarnya berpotensi menghasilkan kadar radiasi peringkat rendah dan sederhana akibat penghasilan sisa radioaktif. Sebab itulah pihak pemaju industri ini memerlukan lesen khas dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebelum memulakan operasinya”.
“Persoalannya mengapa Lynas yang sebelum ini beroperasi di negeri China telah pun terpaksa beralih tempat untuk memproses bahan tersebut sehingga terpaksa mencari lokasi baru. Kenapa Lynas juga enggan memprosesnya di negara mereka sendiri, Australia. Kenapa? Kerana kedua-dua negara tersebut telah sedar kesan buruknya. Kenapa mereka sanggup membawa bahan tersebut ke Malaysia?”.
Menurut Fuziah, sebelum ini pada bulan Julai 2007 Kerajaan Negeri Trengganu telah menolak untuk membenarkan kilang tersebut beroperasi di Telok Kalong, Kemaman, selepas mengkaji isu-isu keselamatan yang membabitkan nyawa manusia serta maklumbalas daripada pelbagai badan NGO.
Namun begitu pada 24 Ogos 2007 MIDA mengenalpasti lokasi baru di Gebeng, Kuantan dan Kerajaan Pahang pula menjadi pak sanggup menerima projek tersebut.
Menurut Fuziah lagi, sejarah hitam industri pemerosesan lathanides telah pun berlaku sekitar awal 1990an di Bukit Merah, Perak di mana syarikat usahasama dari Jepun yang mendakwa menggunakan teknologi pemperosesan bahan tersebut telah gagal menguruskan sisa buangan industri mereka dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
Akibat radiasi sisa buangan radioaktif tersebut, kata Fuziah, telah meningkatkan kadar kejadian kanser, kelahiran bayi pramatang dan cacat malah kes keguguran bayi meningkat secara mendadak melebihi kadar purata yang direkodkan di peringkat kebangsaan. Justeru penduduk setempat telah menjadi mangsa serta hidup merana. Setelah puas menentang, akhirnya mahkamah membatalkan lesen syarikat terbabit.
”Memanglah syarikat-syarikat seperti itu menjanjikan keselamatan masyarakat dan kebersihan alam sekitar menjadi keutamaan mereka. Pernah saya jumpa Menteri Besar Pahang dulu bila saya utarakan persoalan ini, beliau juga yakin kebocoran tidak akan berlaku”.
“Tapi apakah mustahil setelah lama beroperasi kemungkinan kejadian-kejadian seperti pelupusan sisa secara haram dilakukan. Malah, kemudahan penyimpanan sisa buangan sementara seperti yang dituntut peraturan juga mungkin tidak lagi menjadi keutamaan. Sisa-sisa mungkin akan dibiarkan secara terbuka dan mendedahkan bahaya kepada masyarakat dan alam sekitar”.
“Kita sudah ada bukti timbulnya masalah sebelum ini di Bukit Merah Perak di dalam industri yang sama. Tambahan pula di negara kita ini penguatkuasaan memang menjadi masalah. Masalah pembuangan sampah merata-rata pun kita susah nak buat penguatkuasaan. Jadi saya khuatir bagaiamanakah kita mampu melaksanakan penguatkuasaan dalam kes ini yang melibatkan sisa radioaktif merbahaya”.
Fuziah mengandaikan jika berlaku kebocoran di tempat penyimpanan sisa buangan sudah tentu akan mencemarkan Sungai Balok yang kemudiannya akan mencemarkan ikan-ikan dilaut China Selatan.
“Kuantan merupakan pengkalan penangkapan ikan yang terbesar didalam Negara. Ikan-ikan dari Kuantan dihantar ke Pasar Borong di Selayang yang kemudiannya di hantar ke pasar-pasar dan ke restoran-restoran seluruh negara”.
“Saya sendiri membangkitkan perkara ini di parlimen baru-baru ini memandangkan projek ini yang begitu sensitif terhadap keselamatan orang awam dan berisiko tinggi, saya menggesa Ketua Pengarah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mengarahkan satu kajian Detailed Environmental Impact Analysis (DEIA) yang kemudiannya perlu pula dipamerkan kepada orang awam selama 40 hari untuk maklum balas”.
“Walaupun projek ini mungkin tidak memerlukan DEIA dilakukan tetapi demi memastikan keselamatan awam tidak rugi sekiranya pihak Kementerian membuat kajian yang lebih teliti sebelum projek ini dimulakan. Keselamatan orang awam, bayi dalam kandungan dan generasi akan datang yang terancam tidak boleh di gadaikan,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan