Khamis, 3 Mac 2011

PRK Kerdau : Projek Pembangunan 'Mee Segera' BN Semakin Rancak

Ditulis oleh Hafezan


SHAH ALAM : Umno-Barisan Nasional dikesan semakin rancak terus berusaha memancing undi daripada penduduk di kawasan DUN Kerdau dengan menghulurkan bantuan 'projek mee segera' dalam pelbagai bentuk dari yang kecil hingga besar termasuk projek pembangunan.

Pengarah Pilihanraya Kecil PAS Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi TV Selangor hari ini mendedahkan perkara ini dengan berkata perkembangan terbaru ini jelas dapat dilihat di beberapa kawasan tumpuan ramai.

Bagaimanapun, katanya sokongan terhadap calon Pas, Hassanuddin Salim yang juga Ketua Penerangan Pas negeri adalah baik dan memberangsangkan.

"Mutakhir ni kita tengok ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan dengan tawaran-tawaran dengan projek yang turun kemudian bantuan-bantuan yang diberi kepada pengundi dalam bentuk hamper makanan dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, PAS telah menjalankan gerakan mengumpul bahan bukti mengenainya dengan membuat rakaman serta membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM semalam untuk tindakan susulan.

"Kita telah minta supaya unit kita merakamkan setiap perkara yang berlaku ini untuk kita jadikan bahan bukti dan semalam kitapun dah buat laporan SPRM supaya kerajaan supaya SPR bertindak di atas elemen rasuah yang berleluasa dalam pilihanraya kecil di Kerdau," katanya.

Beliau berkata, kempen dijalankan PAS termasuk ceramah di kawasan DUN Kerdau berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian di luar batasan yang berlaku.

Cuma jelasnya, terdapat kejadian kecil yang akan diatasi seperti kes poster dan bendera parti yang hilang dan diturunkan pihak tertentu.

Berhubung peluang Hassanuddin untuk memenangi kerusi DUN Kerdau, Tuan Ibrahim berkata peluang tetap ada dan pihaknya akan berusaha hingga ke saat akhir bagi memastikan hasrat itu mampu dicapai biarpun menyedari cabaran hebat dari Umno-Barisan Nasional.

Calon PAS, Hassanuddin ditentang calon Umno, Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam pilihanraya kecil Kerdau yang berlangsung Ahad ini.

Tiada ulasan: