Jumaat, 18 Mac 2011

Pindah: SMJK masih tidak dapat layanan adil

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Lapan pertubuhan Cina sangat kecewa terhadap keputusan Kementerian Pelajaran menolak cadangan perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Confucian ke Sentul.

Mereka mengulas alasan yang diberikan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “tanah tersebut telah dicadangkan untuk tanah simpanan pendidikan sekolah kebangsaan (SK)”, “sebuah sekolah yang ingin berpindah harus mencari tanah sendiri dan bukan menggunakan tanah simpanan pendidikan kerajaan; tambahan pula, segala kos pembinaan harus ditanggungjawab oleh sekolah tersebut sendiri”.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Persekutuan Alumni Han Chiang Malaysia, Jawatankuasa Kebudayaan-Pendidikan, Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Kuen Cheng, Persatuan Alumni Kolej New Era, Penang Du Zhong Education Society dan Persatuan Murid-Murid Tua SRJK Naam Kheung menganggap kenyataan Muhyiddin itu tidak munasabah.

Menurut mereka, kedua-dua SMJK dan SK merupakan sekolah kerajaan, Kementerian Pelajaran tidak patut ada perbezaan layanan dan mendiskriminasikan SMJK.

“Ini telah mencabul hak asas pendidikan murid-murid yang belajar di SMJK,” ujar mereka dalam kenyataan media bersama.

Menurut mereka, dalam kontroversi penukaran sekolah-sekolah menengah Cina ke SMJK pada 1960-an, kerajaan dan MCA pernah berjanji untuk menggalakkan sekolah menengah Cina menukarkan ke SMJK, termasuklah “lembaga pengarah tidak perlu risau terhadap dana sekolah, ini dapat meringankan beban ibubapa”.

Maka, setelah sekolah menengah Cina menerima penukaran, kerajaan dikehendaki bertanggungjawab ke atas operasi, penyenggaraan, pembinaan dan pembangunan SMJK, itu bukanlah tanggungjawab lembaga pengarah lagi.

“Bagaimanakah Kementerian Pelajaran berkata mencari tanah dan pembinaan sekolah ialah tanggungjawab lembaga pengarah?” soal mereka.

Bagi mereka, ini bercanggah dengan janji-janji penukaran sekolah Cina.

“Ini menunjukkan selepas penukaran selama 50 tahun, SMJK masih tidak dapat layanan yang adil!” kata mereka lagi.

Menurut mereka, SMJK Confucian dan Sekolah Menengah Independen Confucian berkongsi kampus selama 50 tahun, disebabkan bilangan murid-murid semakin bertambah, infrastrukturnya telah tidak mencukupi untuk menampung keperluan dan menghadkan perkembangan kedua-dua sekolah.

Justeru, mereka menggesa Muhyiddin merangkap Timbalan Perdana Menteri menunjukkan keikhlasan beliau dengan menyediakan tapak sekolah dan menanggung semua kos pembinaan.

Kerajaan, kata mereka perlu memikul tanggungjawab pembinaan dan perkembangan SMJK.

MCA juga, menurut mereka dikehendaki memastikan janji-janji tahun 1960-an dilaksanakan dan kerajaan melayan secara adil terhadap SMJK, jangan biar SMJK menjadi anak yatim sistem pendidikan nasional.

“Kami berharap, dalam isu perpindahan sekolah, SMJK Confucian dan Sekolah Menengah Independen Confucian, pertubuhan pendidikan Cina, pertubuhan Cina dapat mengorak langkah bersama, menuntut hak-hak pendidikan daripada kerajaan.

“Masyarakat Cina perlu menyatupadukan daya, menuntut kerajaan memikul semua tanggungjawab terhadap SMJK termasuk menyediakan tapak sesuai untuk pembinaan SMJK Confucian,” ujar mereka lagi.

Tiada ulasan: