Jumaat, 18 Mac 2011

Perkauman - tahap berfikir ahli politik kita

Oleh A. Shukur Harun

Sejak PAS berdepan dengan kekalahan demi di kawasan majoriti Melayu dalam siri pilihan raya kecil baru-baru ini, muncul desakan yang sangat kuat, dengan pelbagai cara, supaya PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Para pemimpin BN, beberapa pengulas politik yang biasanya datang dari kampus serta ‘penulis politik’ di media tradisional telah mengemukakan desakan bertalu-talu supaya PAS tidak lagi bersama DAP, atau dengan kata lain PAS boleh bertanding bersendirian dalam pilihan raya akan datang tanpa bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Menurut mereka, dengan berbuat demikian, PAS kononnya dapat meraih kembali sokongan pengundi Melayu yang kini sudah ‘lari’ dari PAS kerana PAS bergabung dengan DAP dan PKR di mana PAS kononnya menjadi alat DAP.

Desakan ini sebenarnya bukan baru, malah bermula sejak kekalahan BN dalam tsunami politik PRU Ke-12 2008 dulu. Ini antara akhtiar Umno/BN untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan sekaligus memencilkan PAS dari Pakatan Rakyat. Dengan itu mudahlah BN memenangi kembali negeri-negeri yang dirampas oleh Pakatan Rakyat dalam PRU 2008.

Bagaimanapun kita yakin pimpinan PAS dan para pendukungnya sangat sedar hal ini dan tidak mudah terjebak dengan jerangkap yang dipasang oleh musuh politiknya, serta mereka yang tidak faham dengan sejarah dan kaedah perjuangan PAS.

PAS telah memeterai janji setia dalam apa yang dipanggil ‘Tahalluf Siasi’ iaitu bekerjasama dengan parti-parti lain, termasuk parti yang didukung oleh ahli bukan Islam.

Dari pandangan Islam berasaskan hadis dan Sunnah Nabi s.a.w. serta dari segi hukumnya mengenai ikatan politik ini telah dihuraikan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam tulisannya di Harakahdaily baru-baru ini. Beliau mengemukakan hujah yang kuat dari segi syara’. Sekaligus menggambarkan keterbukaan Islam yang dipancarkan melalui sikap dan langkah Nabi s.a.w.

Memang sukar diharapkan bahawa musuh PAS akan menerima hujah ini dengan sikap rasional, terbuka berdasarkan ilmu, justru mereka terperangkap dengan prejudis perkauman yang amat tebal. Lebih-lebih lagi pemikiran Umno dibina berasaskan perkauman dan hidup mati parti itu kekal mendukung fahaman tersebut. Ini kaedah untuk survival parti mereka dan tidak mungkin ada ruang pemikiran rasional di sana untuk membahas dan mengkaji persoalan ini.

Sejak kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-12 2008 dulu, PAS sudah mengadakan tiga kali Muktamar Tahunannya - di Ipoh, Shah Alam dan Kelantan. Setiap kali Muktanar, PAS telah mengulangi janji setia dan berikrar untuk sama-sama memperkukuuh Pakatan Rakyat.

Tidak ada sebarang suara, baik dalam PAS mahupun Pakatan Rakyat, yang mempersoalkan hal ini dan saya yakin dalam Muktamar Tahunan PAS bulan Jun ini pun, ikrar setia kawan ini akan terus didengar. Ini suatu kematangan politik pemimpin dan pendukung PAS. Ikrar ini ternyata dapat dilaksanakan dengan sangat berkesan. Walaupun PAS kalah dalam beberapa siri pilihan raya kecil, namun yang amat jelas ikatan perpaduan tiga parti dalam Pakatan Rakyat begitu menyerlah.

Ahli DAP dan PKR bertungkus lumus dalam setiap kempen membantu calon PAS, begitu juga ahli PAS bersungguh-sungguuh membantu calon DAP atau PKR.

Perpaduan erat tiga parti ini sama sekali tidak menyenangkan Umno/BN walaupun mereka menang beberapa kali dalam siri pilihan raya kecil. Kejayaan perpaduan Pakatan Rakyat ini sangat menggugah dan menjadi cabaran besar musuh politik Pakatan inl.

Sebab itu semakin hampir PRU Ke-13, semakin kuat tekanan, desakan, rayuan dan pelbagai lagi cara dilakukan oleh musuh Pakatan untuk memencilkan PAS dari Pakatan Rakyat, di mana matlamat akhir mereka untuk menghancurkan Pakatan tersebut.

Ketika berkempen mereka mengadudomba PAS dengan DAP. Di kawasan majoriti Melayu mereka mengatakan PAS menjadi alat DAP, sementara di kawasan Cina, mereka mengatakan DAP menjadi alat PAS.

Ini adalah kempen berunsur perkauman yang sangat dahsyat, di mana bagi golongan terpelajar merasa sangat pelik bahawa cara yang sangat primitif ini masih digunapakai dalam kempen setelah 53 tahun Malaysia merdeka.

Sepatutnya kempen pilihan raya yang sesuai dengan masa kini ialah membangkitkan isu demokrasi, keadilan kepada rakyat seperti apa yang disyariatkan oleh Islam, hak-hak rakyat, kemakmuran bersama, serta idea-idea besar lain untuk menjadikan Malaysia unggul.

Namun seperti apa yang kita saksikan, tukang kempem menaburkan fitnah dan serangan peribadi tanpa merasa gerun (istilah yang sering dipakai oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz) dengan persoalan dosa dan pahala. Tukang kempen bercakap mengenai hal remeh temeh yang sangat jijik – disebutkan semata-mata untuk mendapatkan respons ketawa dari mereka yang mendengar.

Yang paling poluper disebut dalam siri kempen itu tentunya mengenai hubungan PAS dan DAP. Konon betapa salahnya PAS berbaik dengan DAP. Ini tentunya untuk menarik perhatian orang kampung yang biasanya terkesan dengan kempen serupa ini, terutama generasi lama.

Kempen perkasuman ini memang sukar berakhir, bahkan akan berlanjutan hingga beberapa pilihan raya akan datang, selagi ada orang suka mendengar kempen seumpama itu. Lebih-lebih lagu rukang kempen itu pandai berkelakar.

Saya beberapa kali berada di Indonesia, mengikuti kempen Pemilu (Pilihan Raya Presiden) dan juga mengikuti siaran Pilihan Raya Presiden Ameruika melalui siaran dari agensi berita luar negeri. Ternyata para tokoh yang berdebat – kedua-dua pihak – mengemukakan hujah yang sangat rasional, jauh dari serangan peribadi dan persoalan remeh temeh. Kedua-dua pihak mengemukakan pelbagai idea menarik, gagasan dan wawasan mereka jika menang. Mereka berbahas dengan cara yang sangat demokratik.

Ketika menyaksikan semuanya itu saya terfikirkan bilakah kita akan dapat menyaksikan debat yang sangat demokratik seperti itu dapat kita lihat di negara ini. Rupanya kita sangat jauh ketinggalan.

Harapan ini hanya boleh berlaku jika ahli politik kita bersikap rasional, mahu berdebat dengan pemikiran terbuka, pempunya idea dan visi yang hebat, tidak bersedia menimbulkan isu perkauman, remeh temeh, serangan peribadi dan seumpamanya.
Untuk itu saya teringat kepada sebuah pesan dari James Freeman Clarke, "A politician thinks about the next elections — the statesman thinks about the next generations." Inilah bezanya.

Barangkali yang banyak di antara kita, hanya ahli politik yang semata-mata memikirkan – dengan apa cara - untuk menang pilihan raya, bukan negarawan yang memikirkan generasi akan datang. Maka tidak hairanlah kempen perkauman dan serangan peribadi datang dari ahli politik yang semata-mata untuk menang pilihan raya.

Tiada ulasan: