KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Perak menyifatkan Umno negeri itu “bimbang” dan cuba menghalang pertemuan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyelesesaikan “perang mulut” dalam hal berkaitan agama Islam antara dua tokoh itu.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan negeri Perak Datuk Hamdi Abu Bakar yang menyifatkan pertemuan tertutup antara Harussani dan Nik Aziz tidak sesuai selain merugikan umat Islam kerana ia dipolitikkan.
“Dewan Pemuda PAS Perak merasa kesal kerana masih ada umat Islam yang membezakan agama dalam politik dan ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
“Kami melihat Datuk Hamdi Abu Bakar tidak memahami Islam yang sebenarnya dan ia bertentangan dengan slogan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) tentang konsep Islam dan agama kerana kurangnya pemahaman dari kalangan pimpinan Umno sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baharu sebelum ini berkata pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz tidak perlu diadakan kerana perbezaan aliran kedua-dua tokoh itu.
Beliau berkata Harussani merupakan seorang ketua ulama manakala Nik Aziz seorang ahli politik yang berkemungkinan perdebatan di kalangan mereka boleh dipolitikkan.
Kata Raja Ahmad, pihaknya akan berusaha untuk memastikan pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz dapat diadakan bagi menyelesaikan segala perbalahan dan “perang mulut” antara mereka terutamanya yang berkaitan hal-hal agama Islam.
“Sepatutnya ia perlu dilihat sebagai satu objektif baik kerana usaha ini akan memberikan kekuatan umat Islam agar tidak bertelagah dengan hukum yang ada.
“Dewan Pemuda PAS Perak sekali lagi berharap dapat menemukan kedua-dua tokoh ini walaupun ada pihak tertentu yang tidak senang dengan usaha ini,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya berhasrat menemukan Harussani dan Nik Aziz berhubung “perang kenyataan” menyentuh isu-isu Islam baru-baru ini.
Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merealisasikan pertemuan tersebut.
Harussani dalam tulisannya dalam Mingguan Malaysia sebelum ini mengaitkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dengan penyataan “undi PAS masuk syurga.”
Tulisan Harussani itu mengundang rasa kurang senang kepada Nik Aziz lalu menghantar surat rasmi kepada Mufti Perak itu untuk memohon penjelasan berhubung dakwaan itu.
Bagaimanapun Harussani menegaskan, beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Nik Aziz berhubung tulisan responsnya menyentuh isu “undi PAS masuk syurga.”
Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.
Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan