Jumaat, 25 Mac 2011

PAS yakin terus berkuasa di Kedah

FREE MALAYSIA TODAY

Saya tidak nampak Umno-BN boleh mengambil alih kerajaan negeri - kata Dr Hayati Othman.

KUALA LUMPUR: PAS yakin dapat terus berkuasa di Kedah seusai pilihan raya umum (PRU) akan datang melainkan Umno-Barisan Nasional (BN) melakukan penipuan secara besar-besaran.

“Saya tidak nampak Umno boleh mengambil alih kerajaan negeri kerana pada ketika ini sokongan kepada Pakatan Rakyat, kedudukannya 60 peratus dan BN 40 peratus,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Hayati Othman ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Pakatan Rakyat, yang diterajui oleh PAS, mengambil alih pentadbiran negeri Kedah selepas memenangi PRU pada 2008.

Hayati yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, rakyat Kedah gembira dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak.

“Walaupun nampak garang tetapi beliau mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka,” katanya.

Beliau berkata, “memang tidak nampak projek-projek mega tetapi dasar kerajaan negeri mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Pelaburan terus masuk ke Kedah dengan jumlah yang banyak dan projek-projek swasta terus berjalan.”

Sementara itu, dalam sidang dewan hari ini, Hayati membangkitkan mengenai kehadiran pekerja asing dari utara Thailand yang menganggu penduduk kampung di daerah Pendang dan Padang Terap.

Menurutnya, gangguan ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung di kawasan terbabit dan meminta pihak berkuasa bertindak tegas mengatasi masalah itu.

Tiada ulasan: