SHAH ALAM: Syarat supaya Kitab Injil diletakkan nombor siri dan cop “ Untuk penganut Kristian sahaja” dilihat menghina kesucian kitab penganut kristian katolik di negara ini.
Menurut paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor, penganut kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab suci mereka.
“Saya rasa jika kita nak letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah memiliki kitab ini sebagai satu jenayah. Sebagai penganut kristian dan tiada penganut kristian yang takutkan tuhan akan menerima perkara ini,” katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengumumkan tindakan kerajaan selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran serta penyebaran Kitab Injil dalam Bahasa Melayu secara terhad dan terkawal.
Bagaimanapun semua kitab berkenaan mesti dicop dengan tag “Untuk penganut agama Kristian sahaja”.
Beliau menambah, tindakan kerajaan ini bertentangan dengan peruntukan undang-undang kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang kerajaan buat bertentangan dengan perlembagaan kerana dalam perlembagaan setiap rakyat dan agama diberi kebebasan untuk menganut agamanya. Jadi apa yang dia buat bertentangan dengan peruntukan undang-undang dalam perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang Paderi di Sarawak, Geraman ketika dihubungi berkata, tindakan kerajaan menyekat Kitab Injil dalam bahasa Malaysia menghalang dari sudut kebebasan.
“Untuk kalangan sendiri sahaja, itu tidak menghalang. Tetapi apabila kita bercakap mengenai kebebasan, itu sudah tidak ada kebebasan,” katanya.
Beliau menambah, walaupun kerajaan meminta semua Kitab Injil dicop dengan “Untuk penganut agama Kristian sahaja”, namun tidak menghalang proses penyebaran
ajaran Kristian.
“Bagi paderi tidak ada masalah yang menghalang walaupun diletakkan cop untuk kalangan sendiri. Bagi pihak kerajaan sudah menghalang. Bagi kami ia tidak menghalang untuk bercakap mengenainya,” katanya.
Kebebasan rakyat Malaysia dalam mengamalkan fahaman agama masing-masing termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan