Sabtu, 12 Mac 2011

Orang Melayu dan Palestin sama sahaja?

Ahmad Rostam Md Zin


Terbaca sebahagian dari petikan-petikan yang terdapat di dalam buku Dr Mahathir yang terbaru di dalam Malaysian Insider dan saya terasa terpanggil untuk sama mengulas kenyataan beliau tersebut dalam perspektif saya sendiri sebagai seorang Melayu walaupun pada pandangan saya Islam itu lebih penting dari bangsa saya sendiri. Apalah sangat jika saya nak banggakan dengan Melayu saya ini kerana di dalam susur keturunan saya adanya darah orang Melayu Minang, Orang asli, Cina Peranakan, Tamil dan Sinhalese (Ceylonese).

Percampuran darah yang bermacam-macam itulah yang lebih membanggakan saya kerana nenek moyang saya telah membuktikan bahawa bangsa itu bukan masalah tetapi kepelbagaian itu membawa kebahagiaan pula. Saya juga berbangga kerana arwah datuk saya boleh bercakap lebih dari 5 bahasa kerana luasnya percampuran beliau dan ini tidak mungkin berlaku jika datuk saya seorang rasis seperti sebahagian orang Melayu sekarang.

Mungkin jika kita selak balik sejarah bagaimana negara ini ditubuhkan mungkin kita boleh berjumpa di mana punca menjadi terlalu rasis dan kadang-kadang perasaan tidak percaya pada bangsa lain itu terus tersemai dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Tradisi pengklasifikasi ikut bangsa ini adalah peninggalan dari penjajah kita dan ia disambung terus oleh parti pemerintah dari semenjak merdeka lagi.

Dengan membezakan bangsa inilah bangsa penjajah berjaya memerintah negara kita dengan aman dan inilah juga pemerintah kita sekarang boleh kekal berkuasa. Dari masa ke semasa api perkauman disemarak dan dibakar secara halus ke dalam hati-hati setiap warga bangsa oleh parti-parti yang berjuang kononnnya demi bangsa. Si Melayu diapi supaya jangan percaya si cina, si cina ditakutkan dengan si Melayu, si india pula dihasut membenci Melayu dan begitulah seterusnya sehingga sedikit sebanyak walau bagaimana kita cuba untuk tidak rasis, kita juga ada kecenderungan untuk berkelakuan begitu.

Saya selalu berjumpa dengan orang-orang yang begitu rasis sehingga saya takut dengan mereka. Takut kerana orang-orang inilah yang bila-bila masa akan memporak-perandakan negara kita pada bila-bila masa. Mana mungkin kita boleh hidup aman bergandingan tangan sekiranya kawan kita yang berlainan warna kulit dituduh sebagai pengkhianat negara, oportunis, zalim dan sebagainya? Mana mungkin saya boleh duduk diam dan tidak berasa apa-apa. Sudah pasti jika saya tidak berfikir dan telan sahaja apa yang dihamburkan saya juga akan jadi rasis seperti mereka.

Apabila Dr Mahathir menyatakan orang Melayu sama seperti orang Palestin. Nasionalis sehingga tahap rasis tetapi gagal menahan diri dari tarikan duit, saya tidak dapat elak dari menggambarkan puak tertentu sebagai orang Melayu yang dimaksudkan. Di peringkat akar umbi cerita pasal pemimpin Melayu menjadi kaya dengan menjual tanah Melayu kepada bangsa lain bukanlah sesuatu yang pelik dan mereka inilah juga golongan nasionalis dan rasis yang dimaksudkan. Saya menganggap kenyataan ini sebagai sindiran kepada orang bawahannya dahulu dan bukan kepada umum.

Merekalah orang-orang yang bertanggungjawab menghilangkan banyak hak milik Melayu kepada orang lain dengan cara yang tidak adil demi memenuhi kehendak nafsu mereka dan mereka jugalah orang yang sama melolong dan menghasut supaya orang melayu jangan percaya bangsa lain. Orang-orang lidah bercabang inilah juga yang menyebabkan Melayu tiada kuasa membeli seperti bangsa lain dan mana mungkin orang Melayu bawahan mampu menahan diri dari menjual harta mereka jika desakan hidup lebih dahsyat dari nilai sebidang tanah.

Kenyataan ini seolah-olah sebagai satu sindiran yang amat tajam kepada 'rakannya' sendiri dan sepatutnya mereka tersedar bahawa merekalah sebenarnya keparat yang memundurkan Melayu lebih jauh lagi. Ini semua puncanya bila agama tidak dibawa seiring dalam perjuangan. Bila perjuangan berdasarkan akal maka akal akhirnya akan dipengaruhi nafsu. Dan nafsu pastinya lebih hebat bila disaji dengan pelbagai kemewahan yang terhidang.

Bila agama diletak di surau, di masjid, di istana dan di jabatan agama, inilah hasilnya. Kemewahan menjadi tidak seimbang, yang kaya terus kaya, yang miskin terus melarat. Si kaya sembelih si miskin dengan harta yang tidak seberapa dan kemudiannya 'disedekah' pada rakan kongsi pelbagai bangsa yang sangatlah intim. Sedangkan pada masa yang sama sikaya berkuasa ini menghasut si miskin supaya terus benci bangsa lain dan mengkambinghitamkan mereka terus-terusan.

Terfikir, betapa mudahnya orang kita diperbodoh-bodohkan dan diperguna mengikut citarasa mereka. Walau tidak adil pun ia kelihatan, tetapi inilah hakikat masyarakat kita tidak kira bangsa. Keakraban hanya pada permukaan tetapi di dasar penuh dengan ketidakpercayaan, kebencian, hasad dan segala nafsu buruk yang tenggelam timbul mengikut arus semasa.

Dan modal inilah juga sebenarnya sumber mengekalkan kemenangan warga pemerintah dengan permainan sentimen perkauman mereka seperti juga perangai penjajah-penjajah kita.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Tiada ulasan: