Sabtu, 26 Mac 2011

Maklumat jerebu pun disekat, apatah lagi kebocoran nuklear?

Chan Wei See

Fenomena menyekat maklumat amat biasa dalam industri nuklear, dan rakyat tidak dimaklumkan situasi krisis yang sebenar seandainya berlaku kebocoran radioaktif. Persoalannya di Malaysia, sejauh manakah rakyat yakin bahawa kerajaan kita akan menjamin ketelusan informasi nuklear, sedangkan kerajaan ini sangggup menyekat maklumat ketika jerebu melanda tanahair kita?

Justeru itu, aktivis menentang nuklear menyeru agar rakyat Malaysia meneliti hakikat yang terpampang di depan mata kita, tegas berpegang kepada hak demokrasi - mendesak agar kerajaan mengadakan referendum (pungutan suara) dalam isu pembinaan loji nuklear.

Sungguhpun banyak negara lain mula mengkaji, atau mengetepikan projek pembinaan loji nuklear, ekoran krisis nuklear yang menimpa Jepun; namun tiada petanda menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia bakal membatalkan rancangan pembinaan loji nuklear yang dijadualkan pada tahun 2021.

Dalam satu forum berjudul "Igauan Nuklear di Jepun dan untuk Malaysia" (Nuclear Nightmares in Japan and for Malaysia) anjuran kerajaan Selangor di Hotel PJ Hilton pada malam 22 Mac 2011, Presiden Malaysian Physicians for Social Responsibility, Ronald McCoy melontarkan soalan-soalan berikut untuk direnungi bersama.

Radioaktif adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat. Bagaimana kita sedar bahawa kita sedang berada dalam keadaan merbahaya? Sampai bilakah keadaan yang merbahaya ini berkekalan? Bagaimana kita menurunkan tahap bahaya yang bakal menimpa diri kita dan keluarga?

Selain itu, apakah ukuran paras radioaktif yang boleh dianggap selamat? Bagaimana kita memperolehi maklumat yang penting ini, agar mengelakkan atau mengurangkan risiko untuk diancam radioaktif? Apakah penyakit yang dibawa kesan radioaktif? Maklumat mana yang boleh kita yakini? Bagaimana kita mengekalkan kehidupan yang sihat, selepas malapetaka nuklear berlaku?

Ronald McCoy (gambar kiri) menganggap soalan-soalan sedemikian adalah sukar untuk dijawab. Seandainya kerajaan dan industri nuklear menyekat informasi yang berkenaan, termasuk maklumat teknikalnya, laporan sains, kajian biologi dan sebagainya, maka adalah lebih sukar untuk soalan tersebut menemui jawapan.

Jepun menyekat maklumat ancaman letupan

Ronald McCoy berkata, penapisan informasi bermula sejak awal pembangunan bidang tenaga nuklear. Industri nuklear memberi persepsi negatif bahawa informasi sentiasa dikawal selama ini. Kepercayaan orang umum terhadap tenaga nuklear menghampiri sifar. Rakyat di British, Amerika Syarikat, Jerman, Russia, Jepun dan negara lain tidak didedahkan kepada kebenaran mengenai nuklear. Malah, Jepun yang sedang bergelut dengan krisis nuklear pun telah lama menyekat maklumat tentang nuklear. Pada tahun 2002, pengurus atasan TEPCO dipaksa untuk meletak jawatan, setelah mendedahkan kebenaran bahawa wujudnya kebocoran radioaktif.

Sumber: Reuters

Selepas malapetaka menimpa loji nuklear Fukushima Daiichi, kerajaan Jepun dan TEPCO melaporkan bahawa hanya berlaku kerosakan yang kecil. Kemudian, barulah dilaporkan bahawa berlakunya kebocoran hidrogen, tetapi pegawai kerajaan tetap mendakwa ia tidak menjejaskan kesihatan. Selepas berlakunya letupan hidrogen, sekali lagi rakyat diberitahu bahawa ia tidak mengancam kesihatan manusia.

Menurut Ronald McCoy, pada hakikatnya, hidrogen yang terbocor mengandungi Tritium. Isotope yang mempunyai hayat separuh selama 13 tahun dan 6 bulan ini boleh diserap tubuh manusia, atau masuk ke dalam badan melalui air minuman, sehingga mengakibatkan keracunan pada bahagian buah pinggang, malah meningkatkan risiko manusia dijangkiti barah.

Beliau berkata, "radioaktif tidak mengancam kesihatan jika berada pada paras rendah" hanyalah mitos yang dicipta oleh kerajaan dan industri nuklear. Pada zaman persaingan nuklear ketika perang dingin, laporan kajian sains yang membuktikan ancaman radioaktif nuklear terhadap kesihatan manusia telah ditapis, malah saintis yang bercakap benar dimasukkan ke dalam senarai hitam. Pada tahun 1994, jawatankuasa eksperimen radioaktif terhadap manusia menyimpulkan bahawa, laporan kajian yang dibuat ketika zaman perang dingin semuanya pernah ditapis dan disunting untuk mengelakkan protes orang awam.

Jadi, muncullah hujah-hujah seperti "adalah sesuatu yang semulajadi untuk manusia hidup dalam keadaan yang mempunyai radioaktif"; "tubuh manusia hanya 'tak kena' apabila tercemar dengan radioaktif berparas tinggi (secara kemalangan, atau kadang-kala)". Namun, menurut laporan yang diklasifikasikan Amerika Syarikat dan Russia, kebocoran radioaktif telah mencemarkan lautan dan darat, dan akhirnya masuk ke dalam rantai makanan dan mengakibatkan krisis kesihatan, misalnya meningkatkan risiko manusia menjangkiti barah, mengancam sistem keimunan badan, mengakibatkan kemandulan, menjadikan penyakit semakin tenat, mengancam pertumbuhan janin dalam kandungan dan sebagainya.

Kerajaan pernah menyekat maklumat jerebu

Setelah mendedahkan fenomena di mana kerajaan di serata dunia menyekat maklumat bersama industri nuklear, Ronald McCoy bertanya kepada hadirin, "Seandainya krisis yang sama berlaku di Malaysia, apa pula reaksi kerajaan Malaysia, menurut ramalan anda?"

"Ingatkah kamu, ketika jerebu menyelubungi Malaysia ekoran kebakaran hutan di Indonesia, apakah reaksi kerajaan ketika itu? Media tidak dibenarkan untuk melaporkan indeks pencemaran udara, kerana ia akan menambat langkah pelancong."

Beliau menambah, banyak pengajaran dalam dunia nuklear sebelum ini. Jadi, negara yang ingin membangunkan nuklear memerlukan masyarakat sivil yang menuntut ketelusan dan integriti, namun kedua-dua elemen ini adalah amat kekurangan di bumi Malaysia. Selain itu, negara yang membangunkan tenaga nuklear memerlukan kerajaan yang jujur dan ikhlas untuk menjamin hak asasi rakyat dan keadilan sistem kehakiman.

Dengan terus-terang Ronald McCoy mengkritik kerajaan Malaysia kerana angkuh, rasuah dan terlalu lama berkuasa. Malah, seperti biasa, kerajaan ini memutuskan untuk membangun tenaga nuklear tanpa mendengar suara yang berbeza. Sesebuah negara yang benar-benar demokratik gagal dibentuk tanpa kehadiran kebebasan media, kebebasan bersuara dan berhimpun.

Malah beliau menyeru agar rakyat Malaysia tegas mempertahankan hak asasi demokrasi, mendesak agar referendum diadakan di seluruh Malaysia oleh badan berkecuali. Malah, Ronald McCoy menyeru agar rakyat Malaysia menubuhkan pakatan untuk menjana gerakan anti-nuklear di peringkat kebangsaan.

Betulkan tiada bencana alam di Malaysia?

Ronald McCoy melontarkan satu lagi persoalan, bahawa keselamatan loji nuklear bergantung kepada kestabilan alam sekitarnya, dan kerajaan bergantung kepada pakar geologi untuk menilai keselamatan tersebut. Namun demikian, banyak juga gempa bumi yang gagal diramalkan pakar geologi. Justeru itu, ia tetap menimbulkan keraguan walaupun kajian geologi menunjukkan bahawa keadaan tanahnya adalah stabil.

Beliau berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah gempa bumi, tsunami setakat ini, tetapi negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipina berdepan dengan keadaan itu. Pengetahuan kita terhadap geologi tidak lengkap dan tidak sempurna, kita terlalu bergantung kepada pengetahuan sedemikian untuk menentukan di mana binanya projek teknologi yang beracun ini, misalnya loji nuklear.

Ronald McCoy berkata, design basis accident sesebuah loji nuklear adalah berasaskan penilaian geologi. Silap selangkah maka ia bakal mengundang situasi seperti loji nuklear Fukushima Daiichi. Rekaan loji nuklear Fukushima Daiichi boleh menanggung kesan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter, dan tsunami setinggi 6.7 meter. Namun, gempa bumi di Jepun pada 11 Mac 2011 telah mencecah ukuran 8.9 pada skala Richter, dan impak tsunami yang jauh lebih berkuasa daripada tahap yang boleh ditampungnya. Maka, bencana berlaku dalam keadaan sedemikian.

"Jadi, pakar geologi turut melakukan kesilapan, ada kalanya. Malah ahli politik juga melakukan kesilapan, kerana penilaian mereka tidak semestinya tepat," katanya.

Beliau memberi contoh bahawa gempa bumi berskala 6.3 Ritcher yang berlaku di Christchurch, New Zealand berasal dari satu kuasa yang gagal dikenalpasti. Kuasa ini tidak pernah wujud dari kaca mata pakar geologi, sehinggalah gempa bumi berlaku.

"Pada hakikatnya, adalah sesuatu yang biasa apabila gempa bumi dicetuskan kuasa yang tidak diketahui. Jadi, adalah satu masalah seandainya menilai keselamatan loji nuklear berasaskan ramalan geologi, kerana ia tidak semestinya tepat," tekan Ronald McCoy.

Selain keadaan tanah yang stabil, pembinaan loji nuklear juga memerlukan syarat kestabilan politik. Negara yang mana senario politiknya tidak stabil akan berdepan dengan risiko di mana loji nuklear mungkin dijadikan sasaran serangan pengganas.

*Chan Wei See ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 23 Mac 2011.

Tiada ulasan: