Isnin, 7 Mac 2011

Kuburkan Revolusi Jasmin: BN kembali yakin berdepan PRU

MerdekaReview

Barisan Nasional berjaya membuktikan kepada pembangkang, bahawa benih Jasmin yang ditaburkan sepanjang dua pilihan raya kecil serentak ini, iaitu Merlimau dan Kerdau tidak berbunga. Meskipun keputusan PRK ini menyuntik keyakinan kepada BN untuk menghadapi PRU akan datang, namun pengkaji politik menjangkakan bahawa kebarangkalian PRU diadakan lebih awal tidaklah tinggi.

Ketika dihubungi MerdekaReview, pengkaji politik, Phoon Wing Keong berkata, dari kaca mata BN, kemenangan kedua-dua PRK ini adalah penting, dalam konteks gelombang "Revolusi Jasmin" di Timur Tengah yang sedang mengombak. Perdana Menteri bersama Timbalannya telah cuba sedaya upaya untuk memastikan bahawa fenomena "Jasmin" tidak menular di Malaysia.

Dengan kemenangan besar BN di kedua-dua kawasan pengundian yang majoritinya terdiri daripada Melayu-Islam, UMNO boleh menyampaikan satu mesej kepada dunia Islam - berbeza dengan negara Timur Tengah yang sedang mengalami "fenomena Jasmin", UMNO-BN adalah kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyatnya untuk terus berkuasa.

Bagaimanapun, Phoon Wing Keong (gambar kiri) menganggap kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau adalah sesuatu yang dijangkakan. Ini kerana kawasan Selatan adalah kubu tradisional UMNO pada asalnya, dan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar sekadar membuktikan bahawa kuasa UMNO atau BN tidak tergoyah di kubu tradisionalnya.

Seorang lagi pengkaji politik, Wong Chin Huat berkata, sesungguhnya kemenangan secara besar-besaran dalam PRK serentak ini menunjukkan bahawa BN telah mengembalikan kuasanya di kubu tradisionalnya, tetapi ia kekal satu tanda soal sama ada gelombang BN ini bakal membadai kawasan bukan kubu tradisionalnya. Soalan ini hanya terjawab seandainya berlakunya satu PRK di "kawasan berisiko tinggi" untuk BN.

Selain itu, walaupun BN menang di tiga kawasan campuran, iaitu Kerdau, Ayer Merbau, dan Merlimau Pasir yang mana nisbah pengundi Cina-nya berada dalam lingkungan 23.8% hingga 48.9%, namun Wong Chin Huat menganggap keputusan ini tidak cukup untuk menunjukkan bahawa undi Cina telah kembali kepada BN. Ini kerana pengundi Cina bukan majoriti mutlak di kawasan pengundian tersebut, dan perlu dibandingkan dengan pengundi Melayu jikalau penilaian dibuat.

PR gagal pertahankan satu pertiga dalam parlimen?

Kedua-dua Wong Chin Huat dan Phoon Wing Keong menganggap kemungkinan bahawa Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan PRU ke-13 dengan lebih awal, iaitu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, adalah rendah.

Wong Chin Huat (gambar kiri) tidak menolak kemungkinan bahawa PRU ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, berikutan kemenangan besar BN dalam kedua-dua PRK ini, namun beliau menganggap adalah lebih mungkin PRU diasingkan dengan pilihan raya negeri Sarawak, jika dilihat kepada sikap Najib yang lebih berhati-hati.

Phoon Wing Keong pula percaya bahawa kerajaan BN tidak akan membubarkan parlimen secara tergesa-gesa, sebaliknya akan memerhatikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi, sebelum memberi kata dua untuk PRU ke-13. Beliau menjangkakan bahawa PRU paling mungkin diadakan selepas pembentangan Belanjawan.

Menurut Wong Chin Huat ketika dihubungi MerdekaReview, seandainya PR gagal menunjukkan prestasi yang terserlah dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang, maka ia mungkin melunturkan semangat PR, lantas memberi kesan langsung terhadap prestasinya dalam PRU.

Tiada ulasan: