Jumaat, 11 Mac 2011

Kerjasama PAS dan DAP: Satu Penjelasan daripada Nasrudin

MERDEKA REVIEW

1. Maklum balas saya terima dari beberapa orang rakan dan sebahagiannya dari UMNO yang cuba mencilok penjelasan saya sebelum ini mengenai kerjasama PAS dan DAP.

Menggunakan hujjah dan alasan yang sama lalu mereka mengatakan bahawa UMNO lebih cerdas dari PAS kerana terlebih dahulu membuat kerjasama dengan MCA dan MIC. Sempat juga mereka menempelak PAS dengan nada sinis, kononnya pada waktu itu, PAS mengharamkan kerjasama dengan non-muslim.

2. Pertama: Suka saya nyatakan di sini bahawa sesuatu kerjasama itu tidak selamanya dibolehkan. Adakalanya ia dibenarkan dan adakalanya ia tidak dibenarkan sama sekali. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam pastinya melandasi tindakan mereka berasaskan nas (Al Quran dan As Sunnah) ataupun ijtihad (penelitian dan kesungguhan mengeluarkan pendapat atau hukum tanpa bercanggah dengan prinsip nas yang sedia ada) para ulamaknya apabila berhadapan dengan sesuatu kes yang tidak mempunyai nas yang jelas.

Firman Allah swt :

وتعاونوا على البر و التقوى و لا تعاونوا على الإثم و العدوان و اتقوا الله إن الله شديد العقاب

dan berkerjasamalah kamu atas perkara yang membawa kebaikan dan taqwa kepada Allah dan jangan sekali - kali kamu berkerjasama atas perkara yang mengundang dosa dan permusuhan.

Surah al Maaidah : Ayat 2
(Al Imam Nawawi Rhm berpendapat bahawa apa yang dilarang ialah mengadakan kerjasama (Tahaaluf) untuk memberikan hak perwarisan dan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam. Adapun kerjasama (tahaaluf) yang berasaskan ketaatan kepada Allah, menolong orang yang dizalimi dan jalinan persaudaraan kerana Allah merupakan perkara yang dibenar dan dianjurkan oleh Agama.)

Fathul Baari: Karya Syeikh Ibn al Hajar : Maktabah Salafiah : Jil: 10 hal : 502

3. Ayat dari surah al Maaidah di atas jelas menunjukkan dua keadaan iaitu kerjasama yang dibenarkan dan kerjasama yang tidak dibenarkan. Ayat ini mudah semudah memahami perkara yang dihalalkan dan perkara yang diharamkan. Kecualilah sang juhala' (jahil) yang tidak tahu membezakan antara yang haq (kebenaran) dan bathil (kepalsuan), selamanya mereka merasakan apa yang mereka lakukan itu benar dan betul.

4. Persoalan kita di sini, apakah kerjasama UMNO dan MCA atau MIC bertolak dari tuntutan agama dan seerah perjuangan Rasulullah saw atau kerjasama yang hanya didorong oleh keinginan untuk berkuasa? Lebih mudah dan tepat jika saya ajukan pertanyaan "Apakah kerjasama UMNO dan MCA/MIC berasaskan kebaikan dan taqwa ?" atau sebaliknya "kerjasama yang menghasilkan dosa dan permusuhan" ?

5. Kerjasama UMNO dengan MCA/MIC dan lainnya membentuk Barisan Nasional. Barisan Nasional pula telah berpeluang memerintah lebih 50 tahun negara ini. Kononnya UMNO menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional, tetapi:
•Apakah Islam menjadi lebih baik sepanjang mereka memerintah ?
•Apakah sistem pentadbiran negara bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa?
•Apakah sistem demokrasi yang diamal benar - benar telus, saksama dan adil?
•Apakah negara menjadi lebih aman dan sejahtera dari jenayah?
•Apakah pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh seluruh rakyat?

6. Persoalan yang saya kemukakan ini mesti dijawab dengan jujur. Jangan hanya kerana mahu menegakkan benang yang basah atau membasahkan benang yang tegak lalu mengemukakan 1001 dalih. Cuba kita lirik sebentar anak mata kita untuk melihat keadaan atau kedudukan Islam di kiri dan kanan kita. Usahkan hendak melihat usaha Barisan Nasional mempertahankan agama, pemimpin mereka mempersenda agama, dibiarkan begitu sahaja.

7. Terbaru sebagai contoh yang mudah, apabila Presiden MCA Chua Soi Lek memperlekeh tindakan Normala Shamsudin yang tidak bersalam dengan lelaki ajnabi (asing - sah nikah) dalam pilihanraya kecil Tenang, saya lihat pemimpinan UMNO hanya mampu senyum seperti saling redha meredhai apa yang dilakukan oleh Chua Soi Lek. Mungkin mereka berkata, aah ! Ini perkara kecil ! Lalu bagaimana pula tindakan Timbalan Presiden UMNO Muhyidin Yassin yang menempelak Kerajaan Kelantan kerana mengharamkan industri judi di negeri itu? Chua Soi Lek pula sokong.

8. Memanglah mereka bekerjasama antara UMNO dan MCA malah kerjasama mereka lebih awal dari kerjasama PAS dan DAP. Namun apa ertinya kerjasama sedemikian? Ini kerjasama yang berasaskan dosa dan kerjasama seperti ini ditolak oleh Islam. Sudah sekian lama mereka bekerjasama tetapi nampaknya MCA dan MIC sehingga hari ini tidak memahami Islam. Macam mana MCA dan MIC boleh faham Islam jika pemimpin UMNO sendiri pun rabun agama.

9. Ini berbeza dengan kerjasama PAS dan DAP serta PKR. PAS tetap dengan dasar perjuangan Islamnya dan tegas dengan prinsip - prinsip Islam. Malah kita membawa Islam yang tulen sebagaimana Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw., iaitu Islam yang sangat toleransi, menghormati kebebasan beragama, tidak memaksa orang lain menganut Islam, menyambung tali persaudaraan, menegakkan keadilan, menentang kebhatilan dan memelihara nyawa, aqal, harta, maruah dan keturunan. PAS konsisten memperjuangkan Islam. Tohmahan yang mengatakan PAS menggadai prinsip perjuangan mestilah disertakan bukti, bukan membebel tidak menentu arah.

10. Jauhlah bezanya dengan UMNO dalam Barisan Nasional. Bukan sahaja MCA dan MIC tidak memahami Islam, malah UMNO sendiri saya lihat sejak dulu lagi keliru tentang Islam. Mahathir bawa Islamisasi sebagai Islamnya. Mari Abdullah Badawi pula membawa Islam Hadhari sebagai mazhabnya. Kini Najib pula mengendong Islam Sederhana sebagai anutan barunya. Selepas ini, jika UMNO lagi yang memerintah negara, saya tidak tahu, Islam apa pula yang akan diperkenalkan oleh UMNO .... kawan - kawan rockers saya kata, berapa banyak Islam daaaa !

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

*Tulisan ini dipetik daripada blog Nasrudin Hassan Tantawi (gambar kanan), Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: